13 Mei Hari Perpaduan : DAP Umpama “Anjing Takut Bayang-bayang”


DAP hari ini dibidas dan dianggap sebagai parti “buta sejarah” berhubung cadangan untuk menjadikan 13 Mei sebagai tarikh memperingati salah satu daripada peristiwa bersejarah di negara ini. Gelagat DAP berhubung perkara itu tidak ubah seperti perumpamaan “bagai anjing takut bayang-bayang”.

Pengerusi Sekretariat Pemuda BN dan 1Malaysia, Mohd Faizal Ramly berkata mereka tidak perlu takut dengan cadangan berkenaan kerana saranan tersebut dilihat bakal memberi kekuatan kepada keharmonian kaum yang telah wujud sejak sekian lama.

Soal beliau kenapakah pemimpin DAP tidak berani menghadapi menghadapi kenyataan berhubung peristiwa 13 Mei itu kerana manfaatnya adalah cukup besar demi kepentingan negara dan rakyat pelbagai kaum.

“DAP tidak perlu memberi pelbagai alasan untuk menggagalkan hasrat tersebut jika mereka berani berhadapan dengan kebenaran. Saya tidak faham mengapa DAP dan beberapa pemimpin parti politik lain menentang perkara ini termasuk cadangan pelajaran Sejarah diwajibkan sebelum ini.

“Apakah mereka mereka takut jika fakta sejarah ini diketahui oleh rakyat. Kita percaya jika perkara ini menjadi realiti, ikatan perpaduan akan menjadi kukuh kerana masing-masing akan mengelakkan daripada melakukan perbuatan yang boleh mengundang perasaan tidak puas hati mana-mana pihak.

“Negara kita berbilang kaum dan amat wajar cadangan tersebut direalisasikan. Bagi saya, cadangan tersebut bukannya berunsur hasutan tetapi lebih kepada menjurus permuafakatan antara kaum di negara ini,“ katanya kepada UMNO-Online, di sini, hari ini.

Beliau mengulas kolum Cuit Utusan Malaysia Rabu lalu yang mencadangkan supaya 13 Mei dijadikan satu hari peringatan sebagaimana Singapura memperingati peristiwa berdarah rusuhan kaum pada 21 Julai 1964 sebagai Hari Keharmonian Kaum.

Kolumnis Zaini Hassan membuat saranan itu setelah kerajaan DAP Pulau Pinang menggantung Ketua Pembangkang, Datuk Azhar Ibrahim selama enam bulan hanya kerana beliau mengeluarkan perkataan ’13 Mei’.

Walaupun cadangan itu dibantah oleh pakatan pembangkang yang membuat laporan polis kerana menyifatkannya sebagai hasutan tetapi ramai pihak menyokongnya kerana ia langkah positif untuk mengukuhkan perpaduan

Mohd Faizal yang juga Ketua Pemuda Teluk Kemang seterusnya berkata DAP seolah-olah takut kepada bayang-bayang sendiri.

Tegas beliau, penentangan DAP terhadap cadangan berkenaan tidak berasas dan hanya mahu meraih sokongan politik murahan.

“Kita berharap kerajaan dapat mempertimbangkan perkara tersebut dengan sehalus-halusnya agar peristiwa yang menggugat keharmonian kaum itu tidak akan berulang. Dan kita juga yakin, majoriti rakyat akan menyokong segala usaha yang membawa kebaikan kepada negara.

”Sejarah adalah sejarah dan ianya tidak boleh di sembunyikan khususnya sejarah hitam. Apabila umum mengetahui dan mereka menginsafi persitiwa berkenaan, sudah tentu masing-masing tidak mahu perkara itu berulang sebaliknya akan dijadikan pengajaran penuh bermakna untuk kepentingan bersama,” katanya. -Ku Azman/ MediaUMNO

Tags:

About author

Curabitur at est vel odio aliquam fermentum in vel tortor. Aliquam eget laoreet metus. Quisque auctor dolor fermentum nisi imperdiet vel placerat purus convallis.

0 Komen

Post a Comment