Tindakan Ahli Parlimen Batu Gajah, Fong Fo Kuan menggunakan Persidangan Dewan Rakyat untuk membincangkan isu kes Adun Sekinchan, Ng Suee Lim menunjukkan DAP menyokong serta merelakan wakil rakyat mereka melakukan perbuatan yang melanggar undang-undang.
Menteri Pertanian dan Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar, berkata apa yang berlaku dalam Dewan Rakyat membuktikan sikap sebenar pemimpin DAP yang cuba mensensasikan sesuatu isu walaupun kes itu di luar topik perbahasan..
“Apa yang dilakukan oleh Fong itu menunjukkan DAP menggalakkan Adun-adunnya membuat sesuatu tindakan tanpa mengikut peraturan, kesemua pemimpin DAP merelakan perbuatan sebegitu walaupun melanggar undang-undang.
“Sebenarnya, ketika itu dia (Fong) dan saya pun tak ada, dia hanya mendengar dan berdasarkan kenyataan akhbar tetapi faktanya, pembelaan yang dibuat oleh ahli-ahli parlimen DAP kepada Adun Sekinchan menunjukkan mereka memang menggalakkan perbuatan itu dibuat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tindakan pembangkang di ketuai oleh Fong yang `menyerang’ beliau ketika menggulung perbahasan Belanjawan 2011 kementeriannya di Persidangan Dewan Rakyat, hari ini.
Ketika penggulungan itu , Fong meminta Noh memberi penjelasan berhubung kes berkenaan tetapi tidak dilayan, berikutan itu Fong yang tidak berpuas hati terus mengganggu Noh dengan disokong ahli pembangkang lain sehingga menyebabkan Yang Dipertua Dewan Ralyat campur tangan.
Noh berkata, beliau tidak mahu menjawab soalan yang dikemukakan itu kerana kes berkenaan sudah menjadi kes polis dan tidak mahu mengganggu siasatan yang dijalankan oleh pihak berkuasa.
“Kes ini sudah menjadi kes polis, biarlah mereka jalankan siasatan, saya tidak mahu mencampuri kes ini, kedua-dua pihak sudah membuat laporan polis mengapa kita nak campur tangan, saya tidak mahu prejudis.
“Sepatutnya DAP menasihati wakil rakyat dia supaya mematuhi undang-undang, bukannya melanggar undang-undang, kalau kita buat macam tu mereka kata kita tak ikut peraturan, tetapi bila mereka yang buat, mereka tuduh kita salah guna kuasa, inilah perangai DAP,” katanya.
Menurutnya, beliau sudah pun menghantar surat kepada Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim untuk bertemu dengan semua wakil rakyat Selangor bagi menerangkan peranan kementeriannya untuk membantu petani dan peladang di Selangor.
“Pertemuan itu tidak ada kena mengena dengan kes Adun Sekinchan, pertemuan ini untuk memberi penerangan mengenai usaha kerajaan membantu petani dan peladang di Selangor, kita tiada wakil dalam dewan undangan untuk menjelaskan perkara itu.
“Selangor sekarang diperintah pembangkang, sudah tentu mereka tidak akan menceritakan apa yang ingin kita lakukan, jadi pertemuan ini dapat memberi penjelasan, jika tidak mereka hanya tahu menghentam sahaja,” katanya -MediaUMNO
0 Komen