Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Barisan Nasional (BN) hari ini membincangkan mengenai pindaan perlembagaan BN dan perkara berkaitan ahli bersekutu atau ahli bergabung.
Semua parti komponen BN bersetuju dengan cadangan menerima keahlian terus menyertai parti itu selaras dengan perubahan suasana politik semasa.
Pengerusi Jawatankuasa Pindaan Perlembagaan BN, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, persetujuan itu dicapai selepas pihaknya meneliti setiap pandangan dan teguran yang dikemukakan oleh pemimpin daripada 13 parti komponen BN.
Bagaimanapun, menurutnya, terdapat beberapa kebimbangan yang disuarakan oleh parti komponen BN namun telahpun diatasi dengan penambahbaikan tertentu dan perkara yang dibincangkan hari ini adalah perkara yang akan dibentangkan pada mesyuarat Majlis Tertinggi BN esok.
"Seperti biasa kerangka kerja perlu dibuat lebih awal dan jawatankuasa kepada pindaan hari ini, sedikit sebanyak telah mendapat konsensus dan pandangan yang cukup untuk dibentangkan esok," katanya yang juga Naib Presiden UMNO.
Ianya penting adalah untuk menunjukkan BN bukan sahaja terbuka kepada pandangan-pandangan serta adalah lebih inklusif tetapi juga realistik dalam pindaan yang akan dibawa.
"Sebab itu kita perlu kebijaksanaan dalam melaksanakan perubahan ini. Kita dalam BN seperti mana dalam UMNO dulu mengambil kira keadaan di bawah dan tidak berkisar kepada retorik semata-mata," katanya.
Hishammuddin juga berkata BN perlu mengambil kira suasana politik yang berubah mengikut musim.
"Jadi apa juga keputusan yang kita buat jangan sampai mengikat kita dan menjejaskan BN. Kita perlu lihat ke hadapan, sebab itu semua pandangan, teguran, cadangan dari setiap parti komponen perlu diambil kira.
Tambahnya lagi, walau apa jua pindaan yang dilakukan dalam Perlembagaan BN, ia berasaskan kepada prinsip mahu memastikan parti ini terus kekal releven.
"Yang paling penting untuk parti ini sentiasa releven, ini penting kerana pada akhirnya kita nak menang pilihan raya... orang ramai mesti terima konsep BN. Apa jua keputusan yang kita buat jangan sampai mengikat kita dan menjejaskan BN untuk bergerak ke hadapan," katanya.
Dalam perkembangan yang sama, Presiden Gerakan, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon berkata, mesyuarat yang dipengerusikan oleh Timbalan Pengerusi BN, Tan Sri Muhyiddin Yassin itu turut membincangkan mengenai draf piagam BN yang akan dibentangkan pada konvensyen parti itu minggu hadapan.
"Kita juga bincang mengenai analisa pilihan raya kecil Batu Sapi dan Galas serta mengenai susunan dan aturan untuk konvensyen," katanya.
0 Komen