Ibu bapa khususnya di kawasan luar bandar disaran supaya menghantar anak-anak mereka mendapatkan pendidikan pada usia lebih awal di taman bimbingan kanak-kanak (tabika) yang disediakan kerajaan mahupun swasta.
Pembantu Menteri Pembangunan Insfrastruktur Datuk Japlin Akim berkata, langkah menghantar anak-anak ke tabika seawal usia 4 hingga 5 tahun boleh membantu menyuntik semangat mereka untuk ke sekolah.
Malah, katanya, tindakan tersebut juga boleh mengelakkan masalah apabila kanak-kanak berkenaan menjejaki alam persekolahan kelak.
"Kesedaran di kalangan ibu bapa luar bandar tentang kepentingan menghantar anak-anak mereka ke tadika masih ditahap rendah, sebab itulah kita lihat, sesetengah daripada anak-anak menghadapi masalah dan memerlukan ibu bapa menemani mereka semasa memasuki darjah satu.
"Masalah ini tidak akan berlaku sekiranya ibu bapa membuat persiapan awal dengan menghantar anak-anak mereka ke tadika pada usia lebih muda," katanya ketika berucap merasmikan Tabikarama dan Konvokesyen Tabika Perpaduan Daerah Kota Belud di Dewan Masyarakat Tun Said dekat sini pagi kemarin
Hadir bersama ialah Pegawai Jabatan Perpaduan dan Integarasi Nasional Daerah Mohd Bisi Jamit serta pemimpinan masyarakat tempatan
Japlin yang juga Wakil Rakyat Usukan berkata, tabika yang didirikan kerajaan dan swasta merupakan satu institusi penting bagi membentuk asas pendidikan anak-kanak.
"Pada peringkat inilah, kanak-kanak boleh belajar sesuatu dengan cepat malah mereka juga meningkatkan komunikasi bersama rakan sebaya," katanya.
Beliau berkata, kerajaan juga menyedari kepentingan perkara berkenaan dan memperuntukan dana yang banyak setiap tahun untuk membangunkan pusat pendidikan awal di seluruh negara.
Sehubungan dengan itu beliau mengingatkan agar ibubapa tidak menjadikan faktor kemiskinan dan tinggal di kawasan luar Bandar sebagai satu halangan bagi mereka mengabaikan pendidikan anak-anak dimana menurut beliau pelbagai bantuan serta kemudahan disediakan oleh kerajaan yang perlu dimanafaatkan sepenuhnya bagi memperkasakan mutu pendidikan anak-anak mereka.
0 Komen