Pemuda UMNO bersyukur kerana apa yang didakwa Pas selama ini terhadap Barisan Nasional akhirnya terpalit kepada pihak Pas sendiri apabila Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Aziz Nik Mat sendiri mengakui secara hitam putih dengan memberi ‘rasuah’ wang tunai kepada orang asli baru-baru ini, ujar Naib Ketua Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Razali Ibrahim.
“Kita dituduh dengan pelbagai tohmahan sebelum ini tetapi akhirnya mereka yang buat. Jadi saya bersyukur, Tuhan kalau nak tunjuk satu-satu perkara itu, ia tidak tunggu lama.
Masih hidup lagi telah ditunjuk kita sebagai manusia serba serbi kurang dan dia sendiri telah melakukan kesilapan yang dia tuduh Barisan Nasional selama ini, akhirnya dia sendiri yang buat, walaupun dia kata duit zakat atau sebagainya,” ujarnya selepas merasmikan Karnival Sukan Galas di Kompleks Rekreasi Taman Wangi, Galas, Gua Musang.
Tambahnya, BN sering kali dituduh dengan pelbagai tohmahan, namun tiada bukti. Antaranya, pengundi hantu, beli undi, rasuah namun semuanya tiada bukti. Kini semuanya terbukti, rakyat sekarang boleh menilai sendiri permainan politik parti pembangkang, yang cukup hipokrit.
“Kita tengoklah pendirian rakyat samaada ingin bersama pemimpin seperti ini atau sebaliknya,” tambahnya.
0 Komen