Saya tak terkejut dengan tindakan bekas Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), N.Gobalakrishnan meninggalkan PKR, kerana ianya memang telah dijangkakan. Sebenarnya dia telah lama kecewa dengan kepimpinan PKR terutamanya Ketua Umum, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali, ujar bekas Majlis Pimpinan Tertinggi dan Setiausaha Pemuda PKR, Lokman Noor Adam.
Tambahnya, kekecewaan yang dirasai oleh Gobala turut dikongsi dengan ribuan penyokong PKR lain. Persoalannya yang sepatut dibangkitkan sebenarnya bukan kenapa mereka meninggalkan PKR, tetapi kenapa mereka mengambil masa yang lama untuk meninggalkan PKR.
“Rata-rata pemimpin awal PKR seperti Gobala telahpun meninggalkan parti tersebut sebaik sahaja mereka memegang jawatan utama parti dan mengetahui tembelang sebenar pemimpin kanan PKR terutamanya Anwar. Kebanyakan mereka yang masih membabi buta menyokong Anwar terdiri daripada penyokong yang tidak dekat dengan Anwar.
Kebanyakan dari pemimpin PKR yang masih bertahan terdiri daripada mereka yang menikmati kelebihan yang Anwar atau pemimpin PKR berikan atau mereka yang berasa serba-salah sepertimana yang pernah saya alami dulu,” ujarnya yang juga EXCO Pemuda UMNO Malaysia ketika dihubungi sebentar tadi.
Persoalannya, kenapa mereka serba salah? Hakikatnya, apabila kita sampai ke tahap Majlis Pimpinan Tertinggi atau menduduki kerusi Biro Politik PKR, sudah pasti lebih banyak kepincangan parti ini akan dapat kita kesan terutamanya dalam soal penyalahgunaan duit sumbangan penaja dan sebagainya.
Kini bila PKR berpeluang membentuk kerajaan bersama DAP dan PAS, sikap sebenar pemimpin kanan PKR akan lebih terserlah. Di peringkat ini, bukan hanya pemimpin utama PKR akan berpeluang melihat penyelewengan ini, malah ahli biasa juga akan berpeluang menyaksikannya.
“Jika dulu mereka tercari-cari siapa yang mahu diangkat sebagai pemimpin, namun kini bukan setakat berebut, malah mereka bermusuhan sesama sendiri dan menggunakan pelbagai taktik kotor untuk mengekalkan kuasa.
Begitu juga apabila mereka mengagihkan projek sehinggalah ke peringkat mengagihkan kerusi ahli majlis, semua ini telah membuka mata pemimpin PKR serta ahli biasa PKR tentang kerakusan pemimpin mereka,” ujarnya lagi.
0 Komen