Datuk Seri Najib Tun Razak berkata Datuk Seri Anwar Ibrahim sewajarnya jangan terlalu mendesak untuk berdebat kerana beliau mempunyai pelbagai maklumat yang boleh menyebabkan ketua pembangkang itu “demam” kelak jika dibongkarkan ketika berdebat.
Perdana Menteri menegaskan bahawa beliau sebenarnya tidak gentar untuk berdebat dengan Anwar tetapi menyifatkan tindakan berdebat itu hanya akan membuang masa kerana pembohongan ketua pembangkang itu dan kegagalannya menunaikan janji.
“Dah cukuplah pembohongan, janji banyak tak boleh buat, ini nak debat dengan saya pula, buang masa. Saya boleh debat dengan dia, saya tak takut, saya dengan menteri saya tahu segala maklumat.
“Jangan cuba nak cabar saya, kalau saya dedahkan segala-galanya, ada orang yang demam nanti,” katanya ketika berucap pada Majlis Pemimpin Bersama Peneroka di Felda Chemplak, di sini hari ini.
Najib berkata Anwar seharusnya membereskan janji seperti menubuhkan kerajaan baru 16 Sept dan masalah “peribadinya” ekoran kes liwat yang dihadapinya daripada asyik mencabar beliau berdebat mengenai “Pelan 100 Hari” pembangkang.
“Nak tubuh kerajaan pada 16 September, tak tubuh lagi. Ini dah tahun 2011. Kita tunggu sehari demi sehari tak jadi, dia kata 30 anggota Parlimen dari BN (Barisan Nasional) nak seberang masuk pembangkang. Kita tengok-tengok, belek-belek mana dia 30, rupanya lima anggota Parlimen dia (pembangkang) (yang keluar) jadi (anggota) Bebas.
“Tak payahlah debat, banyak hal lagi (Anwar) tak selesai. Bukan kerajaan yang bawa dia ke mahkamah, yang buat laporan polis ni Saiful (bekas pembantu peribadi Anwar, Mohd Saiful Bukhari Azlan),”
“Tak payahlah debat, banyak hal lagi (Anwar) tak selesai. Bukan kerajaan yang bawa dia ke mahkamah, yang buat laporan polis ni Saiful (bekas pembantu peribadi Anwar, Mohd Saiful Bukhari Azlan),” katanya.
Najib berkata Anwar tidak perlu bersusah payah memikirkan soal debat kononnya demi kebajikan rakyat kerana Barisan Nasional akan bertanggungjawab dalam memastikan soal kebajikan rakyat dipelihara.
Dalam perkembangan lain, Najib yang juga Presiden UMNO melahirkan rasa terharunya atas sambutan warga Felda dan orang ramai khususnya di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang.
“Saya tak tahulah, tapi pengalaman saya ni, bila jumpa dengan orang ramai, bila dia bersalaman dengan kita, cara dia pegang tangan kita pun kita dapat rasa. Kita rasa macam genggaman tu ada ‘current’. Ini bukan current lain, ini current sokongan rakyat pada BN.
“Inilah gambaran perjuangan kita, inilah rahmat kita, kita sokong BN, saya sebagai PM, Datuk Ghani Othman sebagai Menteri Besar Johor, kita akan terus bersama sebagai satu gandingan yang baik untuk perjuangkan nasib rakyat di Johor dan DUN Tenang secara khususnya,” katanya.
Sehubungan itu, Najib berkata adalah menjadi tanggungjawab pengundi di Tenang untuk memastikan mereka memilih calon yang terbaik untuk kerusi itu pada pilihan raya kecil nanti bagi memastikan kesejahteraan dan keutuhan ekonomi dapat dikekalkan.
Pilihan raya kecil itu diadakan berikutan kematian penyandangnya Datuk Sulaiman Taha, 59, dari BN pada 17 Dis tahun lepas akibat jangkitan kuman dalam darah dan kencing manis. Penamaan calon ditetapkan pada 22 Jan ini dan pengundian pada 30 Jan.
Normala Sudirman, 38, yang juga Ketua Muslimah PAS Labis telah dinamakan sebagai calon PAS untuk pilihan raya kecil itu manakala pengumuman calon BN akan dibuat oleh Timbalan Presiden UMNO Tan Sri Muhyiddin Yassin yang dijadualkan esok.
0 Komen