Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Dr. Abdul Latiff Ahmad membidas tindakan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang terus-terusan bersikap bodoh dan sanggup diperbodohkan oleh sekutunya dalam pakatan pembangkang.
Katanya, Khalid bukan tidak tahu membezakan mana yang baik dan mana yang buruk tetapi dia tetap juga melakukan kerja bodoh apabila meneruskan perancangan sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor Khas untuk meminda Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Selangor.
“Semua orang tahu bahawa mereka berkerajaan tanpa mempunyai kuasa majoriti dan PKR sendiri mentadbir dalam kerajaan campuran bersama dengan Dap dan Pas tetapi dia tetap juga mahu meneruskan tindakan sia-sia, tidak berguna dan membuang masa dengan persidangan DUN,” katanya kepada UMNO-Online.
Terangnya juga, sikap Khalid ini ibarat ‘pandai tidak boleh diikut, bodoh tidak boleh diajar’.
“Menteri Besar ini seperti orang berjalan yang sudah tahu jalan itu sesat tetapi tetap juga meneruskan perjalanannya. Bukankah itu bodoh namanya?” tegasnya.
“Menteri Besar ini seperti orang berjalan yang sudah tahu jalan itu sesat tetapi tetap juga meneruskan perjalanannya. Bukankah itu bodoh namanya?”
Tambahnya, Khalid perlu sedar bahawa dia dilantik sebagai Menteri Besar Negeri Selangor bukanlah kerana dia pandai, bijak, hebat atau mempunyai gelaran ‘Tan Sri’ sebaliknya kerana termaktub dalam Undang-undang Tubuh Negeri Selangor.
“Tapi nampaknya, dia tidak faham atau memang buat-buat tak faham kerana sudah jadi lembu dicucuk hidung yang terpaksa angguk saja atas semua arahan yang dikeluarkan oleh rakan dominan mereka dalam Dap,” ujanya.
Dalam masa yang sama, Dr. Abdul Latiff turut mengulas berkaitan kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menyebut sewajarnya Khalid melepaskan jawatan sebagai Menteri Besar Selangor setelah usul terbabit tidak diluluskan.
“Khalid tidak akan letak jawatan kerana jika ikutkan sepatutnya dia telah melakukan perkara tersebut sejak awal lagi berdasarkan pelbagai isu yang berbangkit di Selangor. Dia ini ibarat mengejar awan, ada angan-angan nak terbang tinggi tapi malangnya tak ada kepak. Dia tipu diri dia sendiri,” katanya.
Selaras dengan itu, beliau menjelaskan bahawa rakyat tidak bodoh sebagaimana Khalid memperbodohkan dirinya.
“Masyarakat melihat, mendengar dan menilai apa yang berlaku. Dari sudut hukum akal sekalipun mana ada orang yang sanggup diperlakukan sedemikian apatah lagi dalam hal-hal yang sudah jelas dari sudut perundangannya,” tegasnya lagi. –MediaUMNO
0 Komen