Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batang Kali, Datuk Mohd Isa Abu Kasim berkata, usaha itu adalah bukti sokongan dan komitmen beliau bersama kakitangan Syabas melalui program Tabung Budi ini bagi membantu golongan yang benar-benar memerlukannya.
“Pejabat DUN akan berusaha menghimpunkan seberapa ramai rakyat kawasan ini untuk sama-sama menyumbang ke dalam Tabung Budi.
“Ini bukan saja sebagai bukti sokongan kepada program sosial tersebut, malah sekali gus dapat membantu lebih ramai rakyat memerlukan bantuan ini khususnya di DUN Batang Kali,” katanya ketika ditemui pada Program Ramah Mesra Syabas bersama Orang Asli Serendah di sini semalam.
Turut hadir, Penolong Pengurus Besar Syabas Wilayah Hulu Selangor, Abdul Latip Mustafa, Pegawai Jabatan Hal Ehwal Orang Asli (JHEOA) Hulu Selangor, Zainal Abidin Mat dan Penghulu Mukim Serendah, Jamali Latif.
Mohd Isa berkata, selain usaha tersebut, beliau juga akan melaksanakan kutipan RM11.40 yang menyamai kadar 20 meterpadu air daripada rakyat yang berkemampuan di DUN ini untuk diserahkan semula kepada Syabas sebelum disalurkan ke Tabung Budi.
Menurutnya, kutipan wang itu akan dilakukan setiap bulan berdasarkan bil air semasa yang diperoleh setiap penghuni rumah yang ingin bersama-sama membantu golongan memerlukan.
“Pelancaran kutipan dan penyerahan wang ini kepada Syabas akan kita laksanakan nanti setelah menerima jumlah kutipan sepenuhnya. Ini adalah satu usaha Pejabat DUN dan masyarakat khususnya dalam memberi sokongan kepada usaha murni Puncak Niaga dan Syabas membantu golongan yang benar-benar memerlukan,” katanya.
Terdahulu, Mohd Isa menyertai program ramah mesra tersebut dan turut menyampaikan hadiah kepada pemenang kuiz serta pertandingan yang diadakan.
Beliau juga amat memuji program sosial dilakukan Syabas yang disifatkannya melangkaui tugasan hakiki mereka dan dalam masa yang sama tidak sedikitpun mengabaikan tanggungjawab untuk menyalurkan khidmat membekal air berkualiti kepada rakyat.
Menurutnya, usaha tersebut satu langkah bijak yang wajar dicontohi syarikat korporat lain.
0 Komen