Saya melihat tindakan kerajaan negeri mengeluarkan notis sidang khas DUN lebih awal sebelum mendapat perkenaan Sultan Selangor sebagai satu tindakan membelakangkan Baginda Tuanku kerana notis sidang DUN telah dikeluarkan pada 10 Januari 2011 manakala kerajaan negeri mendapat perkenan Baginda Tuanku ialah pada 14 Januari 2011, ujar Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Datuk Seri Noh Omar.
Tambahnya, beliau melihat perkara ini sebagai salah satu tindakan terdesak kerajaan negeri kerana mereka sepatutnya mendapat perkenan daripada Baginda Tuanku sebelum sebarang notis dikeluarkan oleh Speaker DUN Datuk Yeng Chang Khim.
Tindakan ini juga jelas memperlihatkan Menteri Besar Selangor seolah-olah lupa daratan sehinggakan sanggup membelakangkan Baginda Tuanku dalam mengeluarkan notis tersebut.
“Sekiranya betul kerajaan negeri menjunjung kasih Baginda Tuanku, mereka perlu mendapat perkenan Baginda Tuanku terlebih dahulu sebelum menetapkan tarikh persidangan dan barulah Speaker DUN mengeluarkan notis kepada semua Ahli Dewan Negeri.
Saya melihat tindakan ini dibuat supaya Baginda Tuanku dilihat mengikut telunjuk dan juga segala nasihat daripada Menteri Besar walhal secara jelas mereka sebenarnya membelakangkan Baginda Tuanku dalam isu ini,” ujarnya dalam satu kenyataan.
Dakwaan mengatakan bahawa Barisan Nasional tidak menghormati Sultan adalah tidak benar kerana semua semua wakil rakyat Barisan Nasional (BN) Selangor akan hadir pada sidang itu bagi menafikan hasrat kerajaan negeri daripada meminda undang-undang tubuh tersebut.
Berbeza dengan tindakan yang dilakukan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA), walaupun Perkara 52 Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Selangor 1959 tidak menyatakan bahawa lantikan perlu mendapat perkenan Tuanku Sultan, mereka masih mendapatkan perkenan Baginda Tuanku.
“Bagi saya ini adalah satu tindakan bijak kerana rakyat dapat melihat bagaimana Kerajaan Barisan Nasional menghormati institusi raja walaupun ada suara-suara sumbang cuba mempertikaikan kesetiaan kerajaan Barisan Nasional.
Sikap biadab kerajaan negeri dibawah pakatan PKR, DAP dan PAS terhadap perkara ini dilihat hanyalah sebagai gimik politik untuk menarik perhatian rakyat. Suka saya menasihati rakyat supaya tidak terkeliru dengan khabar angin bahawa Baginda Tuanku meluluskan pindaan tersebut. kerana Baginda Tuanku hanya memberi perkenan untuk mengadakan sidang DUN dan bukannya meluluskan pindaan undang-undang yang di cadangkan oleh Menteri Besar,” ujarnya lagi.
12:37 AM
aku lebih memandang keadaan ini sebagai bertujuan memaksa/mendesak Paduka Tuanku memperkenankan sidang. Kalau tuanku tak perkenankan sedangkan undangan telah dikeluarkan maka Paduka Tuanku sendiri akan malu kerana kelemahan pentadbiran Dewan Undangan Baginda sendiri.
jadi, ianya bukan perbuatan biadap tetapi derhaka kerana memerangkap Paduka Tuanku dalam keadaan serbasalah.