Pindaan Tidak Ikhlas, Bertentangan Dengan Perlembagaan

Barisan Nasional menolak cadangan pindaan Undang-undang Tubuh Kerajaan Selangor yang dibentangkan oleh kerajaan negeri gabungan Parti Keadilan Rakyat, DAP dan PAS pada sidang khas Dewan Undangan Negeri Selangor hari ini kerana ia bertentangan dengan Perlembagaan.

“Percubaan hari ini sia-sia dan membuang masa,” kata Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri Selangor Datuk Mohamad Satim Diman semasa membahaskan Enakmen Undang-undang Tubuh Kerajaan Selangor (Bahagian Kedua) (Pindaan) 2011 bagi menjelaskan kenapa kesemua 20 Adun daripada BN dan seorang Adun Bebas tidak menyokong pindaan itu yang dibentangkan oleh Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim yang antara lainnya bertujuan mengembalikan kuasa Sultan Selangor dan Menteri Besar dalam pelantikan Setiausaha Kerajaan Negeri, Pegawai Kewangan Negeri dan Penasihat Undang-undang Negeri.

Pindaan itu dicadangkan ekoran pelantikan Datuk Mohd Khusrin Munawi sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Awam yang mendapat bantahan kerajaan negeri dengan alasannya ianya tidak dirujuk kepada Menteri Besar.

Mohamad Satim berkata pindaan itu bermotifkan politik dan bukti sikap hipokrit serta ketidakikhlasan kerajaan PKR Selangor.

Mohamad Satim berkata pindaan itu bermotifkan politik dan bukti sikap hipokrit serta ketidakikhlasan kerajaan PKR Selangor.

Katanya Barisan Nasional, semasa memerintah Selangor sebelum ini, tidak pernah mengetepikan dan membelakangkan Sultan Selangor.

Dalam konteks pelantikan Mohd Khusrin, beliau berkata Khalid sendiri tidak menerima pelantikan berkenaan sedangkan ia sudah diperkenankan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah.

“Ini boleh dianggap derhaka,” katanya.

Mohamad Satim berkata pelantikan Mohd Khusrin sebagai SUK Selangor bukanlah satu isu besar yang menimbulkan satu keadaan darurat sehingga perlu dipinda undang-undang tubuh negeri.

Beliau berkata Menteri Besar sedar pindaan itu tidak akan diluluskan kerana tidak akan mendapat sokongan dua pertiga daripada anggota dewan tetapi masih mahu membentangkan pindaan itu.

“Bukankah ini satu tindakan sia-sia, membuang masa dan membazirkan wang kerajaan. Saya nak bertanya berapa banyak yang dibelanjakan untuk membayar dua penasihat undang-undang swasta yang menyediakan rang undang-undang ini.

“Mengapa tidak menyerahkan (tugas untuk meminda) kepada Penasihat Undang-undang Negeri Selangor yang pelantikannya diperkenankan oleh Sultan Selangor,” kata Satim.

Beliau membidas kerajaan Selangor yang mendakwa ingin mengembalikan kuasa Sultan dalam pindaan itu sedangkan ia tidak memberikan kuasa penuh kepada baginda dalam pelantikan SUK. Mengikut pindaan itu, katanya, peranan Sultan hanya disebut sebagai “hendaklah bertindak mengikut nasihat Menteri Besar”.

Beliau membidas kerajaan Selangor yang mendakwa ingin mengembalikan kuasa Sultan dalam pindaan itu sedangkan ia tidak memberikan kuasa penuh kepada baginda dalam pelantikan SUK. Mengikut pindaan itu, katanya, peranan Sultan hanya disebut sebagai “hendaklah bertindak mengikut nasihat Menteri Besar”.

Satim berkata sekiranya betul kerajaan negeri mahu mengembalikan kuasa Sultan, mereka sepatutnya mecadangkan pindaan dalam aspek perundangan dan perjalanan kuasa.

“Kerajaan Selangor mungkin akan berkata itu bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan, tetapi bukankah pindaan yang sedang dibawa (sekarang) bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan?” katanya.

Satim berkata Menteri Besar berprasangka buruk terhadap Mohamad Khusrin, yang sepatutnya diberi peluang menjalankan tugasnya dan jika didapati tidak cekap atau tidak berkesan, boleh ditukarkan ke tempat lain.

Beliau juga menjelaskan bahawa pindaan Perlembagaan Persekutuan pada tahun 1993 di Parlimen diluluskan dengan majoriti lebih dua pertiga iaitu 167 orang bersetuju manakala enam tidak mengundi dan tiada yang tidak bersetuju.

“Yang bersetuju termasuk Ketua Pembangkang sekarang iaitu Datuk Seri Anwar Ibrahim (pada masa itu Anggota Parlimen Permatang Pauh dari BN). Ini menunjukkan semua pihak termasuk parti pembangkang bersetuju dengan pindaan itu.

“Jadi tak perlulah Menteri Besar, yang pada masa itu eksekutif kanan syarikat (berkaitan) kerajaan, Permodalan Nasional Berhad, mengungkit peristiwa bersejarah itu dengan niat mempolitikkan pindaan undang-undang ini,” katanya.

Bercakap kepada pemberita semasa persidangan berhenti rehat, Satim berkata ucapan Menteri Besar berhubung pindaan itu lebih banyak mengkritik Umno termasuk bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad daripada membincangkan mengenai pindaan undang-undang itu sendiri.

Beliau berkata kerajaan Selangor cuba memutarbelitkan pindaan Perlembagaan Persekutuan yang dibuat pada 1993 dengan menyatakan ia adalah tindakan BN untuk mengurangkan kuasa sultan sedangkan pindaan berkenaan sebenarnya dilakukan untuk mengukuhkan kedudukan institusi beraja di bawah sistem demokrasi berparlimen dan raja berpelembagaan yang diamalkan di negara ini.

“Waktu itu (tahun 1993) merupakan waktu penting yang mana institusi beraja itu perlu diperkukuhkan, maka pindaan Perlembagaan Persekutuan pada tahun itulah menjadi penentu kepada pengukuhan institusi beraja sehingga ke hari ini,” katanya.

Tags:

About author

Curabitur at est vel odio aliquam fermentum in vel tortor. Aliquam eget laoreet metus. Quisque auctor dolor fermentum nisi imperdiet vel placerat purus convallis.

0 Komen

Post a Comment