Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor Datuk Seri Noh Omar menyifatkan tindakan Exco kerajaan Selangor Ronnie Liu yang mengarahkan agar larangan orang Islam bekerja di premis menjual arak ditarik balik sebagai tidak menghormati undang-undang.
Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani itu berkata ini kerana larangan yang dikeluarkan Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) tersebut berdasarkan Seksyen 18(2) Enakmen Jenayah Syariah Selangor 1995 dan tidak bertentangan dengan mana-mana undang-undang lain.
“Yang keduanya kalau semua orang nak bertindak macam DAP nak campur tangan dalam soal-soal agama orang lain maka dia akan menimbulkan suasana yang tidak harmonis,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.
Noh berkata sewajarnya Liu membiarkan soal membabitkan umat Islam itu ditangani oleh pihak yang bertanggungjawab terhadap agama Islam.
Beliau diminta mengulas mengenai tindakan Liu yang juga Exco Perumahan dan Kerajaan tempatan yang mengarahkan MSPJ menarik balik larangan itu atas alasan mahukan penelitian semula selain kerajaan negeri tidak dimaklumkan mengenainya.
Noh juga menegaskan penguatkuasaan yang dilaksana MPSJ itu mendapat sokongan penuh Barisan Nasional (BN) negeri.
“Kita nak tengok pendirian PAS adakah mereka juga akan tunduk kehendak DAP ataupun mereka akan bertegas meyokong penuh tindakan MPSJ,” kata Noh.
Difahamkan larangan ini perlu dipatuhi oleh pemilik pusat hiburan yang menjual arak sebelum lesen mereka diperbaharui oleh MPSJ.
0 Komen