BEAUFORT: Penduduk luar bandar digalak untuk menceburi bidang industri pemprosesan makanan di kawasan masing-masing sebagai langkah meningkatkan pendapatan ekonomi serta taraf kehidupan mereka.
Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Seri Panglima Haji Lajim Haji Ukin berkata, industri pemprosesan makanan seperti menghasilkan Tauhu Manis, Mi dan makanan berasaskan snek bergoreng seperti kerepek ubi dan sebagainya mempunyai potensi pasaran yang luas di kalangan penduduk tempatan.
Bagaimanapun, menurutnya, penduduk terbabit perlu menghasilkan produk masing-masing dengan kualiti tinggi bagi menjamin ia menembusi pasaran yang luas dimana mereka boleh memperolehinya dari pelbagai kursus kemahiran yang dianjurkan oleh pelabagai jabatan dan agensi kerajaan
‘‘Dengan menghadiri kursus yang dikendalikan oleh agensi kerajaan seperti Kementerian Pertanian) dan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian (MARDI) dan lain-lain, penduduk berpeluang menimba pengalaman bagi menghasilkan produk makanan tersendiri jika mereka cekap memanfaatkan ilmu pengetahuan yang diperoleh menerusi kursus itu” katanya ketika berucap menuntup Kursus Sehari Membuat Tauhu Fah (Tauhu Manis) anjuran Puteri Umno Bahagian Beaufort dengan kerjasama Yayasan Sabah di Balai Raya Kampung Kebidang dekat sini petang kemarin
Hadir sama Ketua Pentadbir Kumpulan Yayasan Sabah Zon Pedalaman Selatan (YSZPS), Zulkhairi Haji Ismail, dan Ketua Pergerakan Puteri Umno Bahagian Beaufort Saridah Datuk Mohd Dun
Lajim yang juga Ahli Parlimen Beaufort berkata, selain itu pembabitan penduduk luar bandar dalam industri seperti itu dilihat mampu menyumbang ke arah peningkatan taraf ekonomi keluarga mereka pada masa akan datang.
Katanya, penglibatan penduduk dalam industri terbabit juga sudah pasti dapat membantu kerajaan untuk mencapai matlamat melahirkan golongan penduduk berpendapatan tinggi menjelang 2020.
‘‘Justeru, kerajaan menerusi agensinya akan mengadakan lebih banyak program seumpama ini untuk menggalakkan pembabitan penduduk di kawasan luar bandar dalam bidang pemprosesan makanan dari semasa ke semasa,” katanya.
Terdahulu ketika berucap di majlis tersebut Ketua Pentadbir (YSZPS) Zulkhairi Haji Ismail berkata, Yayasan Sabah akan terus memainkan peranan serta tanggungjawabnya bagi membantu kerajaan melonjakkan taraf siso ekonomi rakyat di luar Bandar.
Katanya, tanggungjawab tersebut selaras dengan tranformasi kerajaan bagi menjadikan rakyat berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020 tanpa bergantung sepenuh kepada bantuan atau subsidi dari kerajaan
“Tanggungjawab ini tidak seharusnya disandarkan kepada kerajaan semata-mata namun pelbagai pihak termasuk sawsta perlu memberikan kerjasama dalam menjayakan tranformasi tersebut” Jelas Zulkhairi.

0 Komen
Post a Comment