
Kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Satok akan menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara penyandangnya
Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg daripada Barisan Nasional (BN) dan calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) Ahmad Nazib Johari pada pilihan raya DUN Sarawak ke-10 pada 16 April ini.
Abang Johari, 61, Timbalan Yang Dipertua Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) bertanding untuk kali kelapan bagi mempertahankan kerusi yang dimenanginya sejak 1981 itu.
PKR menampilkan Ahmad Nazib, 35, Ketua Angkatan Muda Keadilan Sarawak, seorang peguam syarie yang pertama kali bertanding dalam pilihan raya negeri.
Abang Johari ialah yang pertama masuk ke pusat penamaan calon di Dewan Datuk Merpati Jepang di Sekolah Kebangsaan Merpati Jepan untuk mengemukakan borang pencalonannya, diikuti oleh calon PKR.
Kertas pencalonan pertama diterima daripada calon BN pada pukul 9.03 pagi diikuti calon PKR pada pukul 9.07 pagi.
Pegawai Pengurus pilihan raya DUN Satok Onn Abdullah mengumumkan selepas proses bantahan tamat pada pukul 11 pagi ini bahawa SPR menerima tiga bantahan daripada calon yang bertanding dan kesemuanya ditolak.
Ketika ditemui pemberita, Abang Johari berkata strategi PKR meletakkan calon muda daripada AMK Sarawak bukannya perkara baru beliau hadapi.
"Saya menghadapi PKR sebanyak tiga kali dan setiap pertandingan itu rakyat berpihak kepada BN, saya yakin kali ini pengundi DUN Satok akan terus memihak kepada BN," katanya.
Beliau yakin rakyat negeri ini boleh menilai yang mana intan dan yang mana kaca untuk mentadbir Sarawak dengan baik.

0 Komen
Post a Comment