
KUCHING, 15 April – Ketua Penerangan UMNO, Datuk Ahmad Maslan menyifatkan dakwaan pakatan pembangkang kononnya angin perubahan semakin ketara di negeri ini menjelang hari terakhir sebelum proses pengundian esok sebagai satu propaganda palsu seperti mana pembohongan 16 September mereka untuk mengambilalih Putrajaya.
“Kalau dulu mereka berbohong 16 September untuk mengambil PUTRAJAYA kali ini mereka bohong pula 16 April untuk mengambil PETRAJAYA.
“Ini satu propaganda mereka untuk mempengaruhi pengundi pada saat-saat terakhir. Kita yakin rakyat Sarawak khususnya pengundi tidak akan sama sekali lupa tarikh 16 September 2008 bagaimana besarnya pembohongan pakatan pembangkang ini”, katanya kepada hari ini.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas dakwaan pembangkang yang mengatakan mereka bukan saja yakin menafikan kemenangan dua pertiga Barisan Nasional (BN) malah boleh menguasai negeri Sarawak.
Berdasarkan pengamatannya yang sudah 10 hari berkempen di negeri ini, beliau yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri percaya pengundi di negeri ini tidak akan sesekali memperjudikan nasib mereka di tangan pakatan pembangkang yang caca merba.
“Pengundi di sini menilai parti mana yang benar-benar boleh membawa pembangunan dan membela nasib mereka berdasarkan rekod perkhidmatan dan janji manifesto yang realistik. Saya adalah antara orang yang paling layak untuk berkata sedemikian kerana isteri saya adalah orang Kuching, Sarawak.
“Rakyat Sarawak sudah dapat melihat bagaimana pakatan pembangkang yang gagal mentadbir negeri-negeri di semenanjung yang jatuh ke tangan mereka. Banyak janji tak dilaksana… sekarang pakatan pembangkang datang ke sini menjanjikan bulan dan bintang… kita yakin pengundi terutama di negeri ini yang akan mengundi esok hari tidak akan terpedaya”, ujarnya.
Justeru menjelang jam terakhir berkempen bagi pilihanraya negeri Sarawak beliau berharap jentera Barisan Nasional memberi fokus dan berjuang hingga detik terakhir, minit akhir sebelum pintu tempat mengundi ditutup. -MediaUMNO

0 Komen
Post a Comment