SHAH ALAM 5 April – Desakan demi desakan daripada Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) agar ditubuhkan Suruhanjaya DiRaja bagi menyiasat kesahihan dan kebenaran video seks yang dikaitkan dengan seorang pemimpin kanan pembangkang serta cadangan agar rakaman video itu ditayangkan kepada ahli-ahli Parlimen bagi mencari kebenaran mengenai rakaman video tersebut.
Presiden Waris Malaya, Sheikh Wessal Sheikh Ahmad berkata, suruhanjaya itu harus diwujudkan secepat mungkin dan harus dianggotai oleh Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail dan juga Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.
"Kita mengalu-alukan kenyataan KPN baru-baru ini mengesahkan bahawa rakaman video itu adalah tulen berdasarkan penelitian pakar profesional. Justeru kita minta satu suruhanjaya diraja dibentuk bagi menyiasat rakaman video berkenaan.
"Siasatan itu harus buat bagi menjaga imej dan maruah Dewan Rakyat dan Ahli Parlimen negara ini kerana rakaman video itu dikatakan melibatkan seorang Ahli Parlimen," ujarnya
kepada pemberita selepas bersama kira-kira 40 orang anggota Waris Malaya, GAPS dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) lain menyerahkan memorandum kepada Ketua Polis Negara (KPN) menerusi Ketua Polis Daerah Shah Alam di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam kira-kira 2.50 petang di sini hari ini.
Memorandum itu diserahkan oleh Pengerusi GAPS, Hamidzun Khairuddin kepada Ketua Bahagian Pengurusan Daerah IPD Shah Alam, Deputi Supritendan Azmi Md. Said yang mewakili Ketua Polis Daerah Shah Alam.
Dalam perkembangan berkaitan, Gagasan Anti Penyelewengan Selangor (GAPS) berkemungkinan akan menyerahkan memorandum kepada Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia bagi mendesak rakaman video seks dikatakan melibatkan seorang pemimpin pembangkang ditayangkan di Parlimen.
Pengerusinya, Hamidzun Khairuddin berkata, tindakan itu bakal dilakukan oleh pihaknya kerana merasakan Ahli Parlimen berhak untuk mengetahui perkara itu atas prinsip mencari kebenaran, bukannya untuk tujuan yang tidak bermoral.
"Dewan Rakyat mempunyai imuniti dari segi undang-undang. Bagi mengelakkan timbulnya fitnah atau ketidakadilan, maka wajar Ahli Parlimen dibenarkan melihat video berkenaan di Dewan Rakyat.
"Sekiranya ia melanggar peraturan di dewan rakyat, maka satu sesi tertutup boleh diadakan untuk tujuan ini melibatkan Ahli Parlimen daripada pihak kerajaan dan pembangkang. Justeru, kita akan menyerahkan memorandum kepada Speaker Dewan Rakyat dalam tempoh terdekat ini agar penayangan rakaman video ini dibuat di Parlimen ," katanya di sini.
Hari ini, Pandikar Amin ketika sidang Dewan Rakyat menegaskan tidak akan membenarkan penayangan video seks berkenaan di Parlimen dengan alasan bahawa ia bertentangan dengan Peraturan Mesyuarat Persidangan Dewan Rakyat dan salah di sisi agama Islam.
Malah, Speaker Dewan Rakyat itu turut menyatakan keputusan itu dibuat bagi mengelakkan Dewan Rakyat digunakan oleh mana-mana individu untuk kepentingan peribadi atau agenda politik.

0 Komen
Post a Comment