Enam nelayan Malaysia yang dipenjara hampir 10 bulan oleh pihak
berkuasa Indonesia kerana didakwa menceroboh perairan Negara itu selamat tiba
di tanah air hari ini selepas mendapat pengampunan Presiden Indonesia, Susilo
Bambang Yudhoyono.
Kesemua mereka serta seorang lagi nelayan warga Indonesia yang
ditahan di perairan antarabangsa antara Malaysia dan Indonesia pada 8 Mac tahun
lepas dibebaskan daripada Penjara Bengkalis pada Rabu lepas selepas Presiden
Indonesia menawarkan pengampunan iaitu pengurangan hukuman penjara tiga tahun
tiga bulan dan menghapuskan denda satu milyar Rupiah (RM350,000) seorang.
Pengadilan Negeri Bengkalis pada 5 Mei 2011 menjatuhkan hukuman
enam bulan penjara serta denda satu milyar Rupiah terhadap kesemua mereka sebelum
kes itu dibawa ke Mahkamah Agung di Jakarta.
Bagaimanapun, mahkamah itu memutuskan hukuman penjara dinaikkan
kepada empat tahun serta denda dengan jumlah sama dan enam bulan penjara jika
gagal membayar
denda tersebut.
Kesemua mereka Jamil Mohd Top, 53; Mohd Zamri Hambali, 26; Rosli
Abd Rashid, 34; Zainodin Adam, 53; Ridzwan Aris, 35; Ibrahim Mohd Kasim, 29;
tiba di Jeti Feri Banda Hilir di sini kira-kira pukul 1.30 tengah hari dengan
menaiki feri dari Bengkalis dan disambut ahli keluarga dalam satu pertemuan
penuh kesyukuran.
Seorang daripada nelayan berkenaan, Ridzwan berkata pengalaman
dipenjarakan selama hampir 10 bulan di Indonesia memberi sedikit tekanan dan
pengajaran berharga kepadanya setelah 15 tahun menjadi nelayan.
Beliau berkata pelbagai perkara difikirkan termasuk kehidupan
isteri dan tiga orang anak yang bergantung harap sepenuhnya kepadanya dalam
mencari rezeki untuk keluarga.
"Perkara itu berlaku amat pantas dan sepanjang 10 bulan
dipenjarakan saya tidak putus-putus berdoa agar dapat kembali ke pangkuan
keluarga yang sememangnya menanti kepulangan saya," katanya ketika ditemui
di sini, hari ini.
Namun, dia bersyukur kerana diberi layanan baik sepanjang berada
di penjara republik itu sebelum mendapat pengampuan daripada Presiden
Indonesia.
"Saya dan enam rakan lain berasa amat gembira dan tidak dapat
tidur kerana terlalu seronok dengan berita pengampunan yang disampaikan,"
katanya.
Ridzwan berkata dia akan terus menjadi nelayan dan mengambil
langkah berhati-hati selepas ini bagi mengelak perkara sama berulang.
Sementara itu, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk
Ahmad Maslan yang turut hadir di jeti berkenaan berkata pembebasan kesemua
nelayan yang berasal dari Pontian, Johor terbabit merupakan suatu peristiwa
bersejarah dan mencerminkan keharmonian hubungan Malaysia-Indonesia.
"Ini merupakan sejarah kerana tidak pernah berlaku rakyat
Malaysia menerima pengampunan Presiden
Indonesia... saya amat menghargainya," katanya.
Ahmad, yang juga Anggota Parlimen Pontian, turut mengucapkan
terima kasih kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang berbincang
dengan rakan sejawatnya di Indonesia berhubung perkara berkenaan sehingga
membawa kepada pembebasan kesemua nelayan itu.
"Saya telah memaklumkan mengenai perkara ini kepada Perdana
Menteri dan beliau amat gembira dengan perkhabaran baik ini," katanya.
0 Komen