BICARAKAN KES SITI NADZIRAH DI MALAYSIA

Pemuda UMNO dengan kerjasama Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat akan terus berusaha untuk membawa kes hak penjagaan anak Siti Nadzirah Mohd Nasir ke mahkamah Malaysia.

Pengerusi Biro Pengaduan Awam dan Hal Pengguna Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Subahan Kamal berkata mereka akan turut meminta kerjasama daripada Kementerian Luar untuk campurtangan bagi membawa kes terbabit dibicarakan di negara ini.

Menurut beliau kes terbabit sewajarnya diputuskan di negara ini kerana perkahwinan antara Siti Nadzirah, 20 dan suaminya Fazal Azim Abdul Aziz, 24 didaftarkan di Malaysia manakala anak pasangan berkenaan yang kini berusia 11 bulan dilahirkan di negara ini dan merupakan warganegara Malaysia.

"Inilah asasnya. Sebab itulah kita merasakan seharusnya kes tuntutan penjagaan anak pasangan terbabit diputuskan di negara ini. Kita yakin jika kes ini dibicarakan di sini, 90 peratus akan berpihak kepada Siti Nadzirah kerana di dalam undang-undang negara, kanak-kanak yang berumur di bawah tujuh tahun adalah dibawah hak jagaan ibu. Dan jika sekiranya mahkamah memutuskan hak penjagaan kanak-kanak terbabit diberikan kepada bapanya, kita akan terima dan begitulah sebaliknya", kata beliau.

Tegas Datuk Subahan, kes berkenaan perlu disegerakan supaya Arman Khan yang masih kecil itu dapat bersama ibunya semula secepat mungkin.

"Kes ini cukup klasik kerana ianya melibatkan dua buah negara. Justeru kita amat berharap kerajaan menerusi Kementerian Luar dapat berbuat sesuatu untuk membawa kes tersbeut didengar di negara ini berdasarkan beberapa sebab yang dianggap wajar. Kerajaan juga harus mewujudkan undang-undang berkaitan supaya perkara yang menimpa Siti Nadzirah tidak lagi berulang ", ujarnya.

"Kita tidak boleh halang sesiapa yang ingin berkahwin dengan pasangan daripada negara luar. Ini soal jodoh serta ketentuan Allah. Apa yang saya nampak kita perlu perkenalkan undang-undang supaya setiap kes yang melibatkan perkahwinan yang didaftarkan di negara ini perlu dibicarakan di mahkamah syariah. Inilah yang saya lihat ada sedikit kelonggaran.”
Tags:

About author

Curabitur at est vel odio aliquam fermentum in vel tortor. Aliquam eget laoreet metus. Quisque auctor dolor fermentum nisi imperdiet vel placerat purus convallis.

0 Komen

Post a Comment