Bekas Perdana Menteri Pakistan Benazir Bhutto terbunuh dalam satu serangan berani mati yang turut mengorbankan kira-kira 20 penyokongnya selepas menyampaikan ceramah kempen pilihan raya di Rawalpindi Islamabad.Dalam kejadian itu, Benazir, 54, dilaporkan ditembak di leher dan dada ketika sedang memasuki kenderaannya. Beliau meninggal dunia pada pukul 5.25 petang (8.25 malam waktu Malaysia) di Hospital Umum Rawalpindi.
Ketika itu baru sahaja selesai menyampaikan ceramah kepada beribu-ribu penyokongnya dan sedang berjalan ke arah kenderaannya apabila seorang lelaki menghampirinya dan melepaskan tembakan sebelum meletupkan dirinya.
Pembunuhan itu yang berlaku dua bulan selepas Benazir, yang pernah menjadi Perdana Menteri Pakistan sebanyak dua kali dan merupakan wanita pertama negara itu memegang jawatan tersebut, kembali ke Pakistan untuk bergiat semula dalam politik.
Ini merupakan serangan kedua ke atas Benazir sejak pulang dari tinggal dalam buangan di Britain, Oktober lalu. Pada serangan 19 Oktober lalu, lebih 138 orang terbunuh ketika berarak menyambut kepulangannya.
Pembunuhan Benazir Keruhkan Lagi Keadaan Politik Pakistan
Menurut jurucakap Benazir, Farahtullah Babar, beliau baru saja melintasi pagar ketika dalam perjalanan ke keretanya yang terletak 50 meter dari tempat kejadian apabila tiba-tiba satu letupan berlaku.
‘‘Tindakan ini dilakukan oleh mereka yang ingin melihat keadaan di Pakistan huru-hara kerana beliau adalah simbol penyatuan di sini. Mereka telah memusnahkan keluarga Bhutto dan merupakan musuh Pakistan,” kata Farahtullah.
Kejadian ini mengulangi sejarah bapanya, Zulfikar Ali Bhutto yang mati ketika menjadi Perdana Menteri apabila dihukum gantung oleh pihak tentera selepas satu rampasan kuasa.
Sementara itu, bekas Perdana Menteri dan juga pemimpin pembangkang Nawaz Sharif yang kelihatan terkejut ketika bercakap di luar Hospital Umum Rawalpindi, tempat Benazir meninggal dunia, berkata, dia bersumpah akan meneruskan perjuangan wanita itu.
‘‘Saya berikan jaminan akan meneruskan perjuangan anda mulai sekarang,’’ kata beliau kepada para penyokong Benazir yang menangis dan meraung di luar hospital berkenaan.
‘‘Saya berkongsi kesedihan anda dan juga seluruh negara,’’ kata beliau lagi.
Sementara itu, keadaan di luar hospital itu tegang dengan kebanyakan penyokong Benazir menangis malah ada yang bertindak ganas dengan memecahkan cermin serta menuduh Presiden Pervez Musharraf sebagai dalang dalam kejadian ini.



0 Komen
Post a Comment