KOTA BHARU : Pemimpin tertinggi DAP terutama Penasihatnya, Lim Kit
Siang dan Setiausaha Agungnya, Lim Guan Eng diminta supaya mengeluarkan
kenyataan berhubung pendirian rasmi parti itu mengenai pelaksanaan syariat
Islam di negara ini seperti hukum hudud.
Timbalan Ketua Pemuda Pas, Nik Abduh Nik Abdul Aziz (gambar)
berkata, kenyataan itu amat penting bagi memperbetulkan persepsi rakyat selepas
beberapa siri kenyataan Pengerusi DAP, Karpal Singh yang menolak hukum hudud
dan negara Islam.
Beliau berkata, pada masa yang sama, kepemimpinan tertinggi DAP
juga perlu memberi nasihat kepada Karpal supaya berhenti daripada terus membuat
kenyataan tersebut kerana ia akan menjejaskan hubungan dalam pakatan
pembangkang.
"Kita minta pemimpin DAP tidak kira siapa (Kit Siang atau
Guan Eng) membuat kenyataan, paling tidak orang tahu DAP menolak kenyataan
Karpal dan yang penting rakyat tahu DAP menjaga hubungan dalam pakatan.
"Saya setuju dengan kenyataan Ketua Pemuda Pas, Nasrudin
Hassan (yang membidas karpal). Kenyataan Karpal Boleh menimbulkan andaian
bahawa seolah-olah DAP tidak menjaga pengundi Melayu, seolah-olah DAP tidak
kisah lansung sedangkan sudah pasti ia tidak betul. Mana ada parti tidak mahu
undi rakyat.
"DAP perlu menasihati Karpal seperti juga Pas apabila
pemimpin Pas buat kenyataan bercanggah dengan semangat pakatan mereka akan
diberi nasihat macam Datuk Dr. Hassan Ali dan Nasharudin Md Isa," katanya
kepada Utusan Malaysia hari ini. Beliau berkata demikian ketika diminta
mengulas mengenai kenyataan Nasrudin yang mendakwa Karpal semakin keterlaluan
apabila merendah-rendahkan dan mempertikaikan keupayaan hukum hudud mengatasi
jenayah.
Nik Abduh berkata, kenyataan Karpal sememangnya keterlaluan kerana
beliau telah menyentuh dasar perjuangan dan tidak menghormati Pas.
"Semua benda beliau hendak sentuh, perlaksanaan syariat
Islamadalah mendasari perjuangan Pas. Dasar perjuangan parti pembangkang lain
memang banyak perkara tidak setuju sebab dasar yang berbeza, DAP tidak
bersetuju dengan Pas, Pas tidak setuju dengan DAP, DAP tidak setuju dengan
Parti Keadilan Rakyat (PKR) tetapi kita diam dahulu kerana kita mahu fokus
untuk berjuang menegakkan keadilan dan menghapuskan kezaliman.
"Jadi pada pandangan kami, Pas telah melaksanakannya, kita
tidak sentuh dasar PKR dan DAP jadi sepatutnya ia juga diraikan oleh Karpal,
memang benar hanya Karpal sahaja dalam DAP yang membuat kenyataan menolak hudud
tetapi oleh kerana beliau adalah pengerusi DAP maka orang nak tahu kedudukan
yang sebenar," katanya.
Ditanya apakah Pas perlu mengambil tindakan tegas sekiranya Karpal
terus membuat kenyataan menolak hudud, beliau berkata ia terserah kepada
kepimpinan pusat parti itu.
Sementara itu, dalam laman sosial facebooknya, Nik Abduh berkata,
biarpun berhak untuk bersuara atas nama kebebasan, karpal tidak sepatutnya
mamanaskan isu-isu yang 'setuju untuk tidak bersetuju' seperti mana hak
kesepakatan dalam pakatan pembangkang.
"Sama ada kritikan beliau itu adalah atas premis
mempertahankan sekularisme negara, atau jahil, atau keras pedal atau anti
Islam, semua itu mendorong kepada andaian bahawa DAP tidak mesra agama Islam
dan undi Melayu.
"Saya hairan, orang sehebat Karpal masih menari mengikut
rentak yang Umno dan Barisan Nasional (BN) mahukan? Secara peribadi jika saya
mengundi di kawasan beliau, saya tidak perlu berfikir dua kali untuk tidak
mengundi beliau walaupun saya akan mengundi selainnya yang tidak sepertinya
yang mungkin menggantikan beliau." Katanya.
#Petikan dari Utusan
Malaysia 23/8/12
8:12 PM
penyerangan Karpal terhadap perjuangan PAS dalam Islam adalah satu strategi serangan secara luaran dan dalaman PAS, sekarang telah terbukti seperti apa yang diperkatakan bahawa kepimpinan PAS sekarang telah beralih angin atau beralih arah dari penerajuan kepimpinan ulamak kepada penguasaan oleh pemimpin sekular sederhana, inilah yang dihajatkan oleh bukan sahaja DAP malah ahli-ahli dalam PR supaya hajat asal PAS dapat dikawal oleh pemimpin-pemimpin dalam PR..