ISLAM ANTI TERRORISME: MUKHRIZ GARIS 3 CABARAN YANG PERLU DISELESAIKAN UMAT ISLAM


Satu pernyataan hakiki bahawa agama Islam sememangnya anti terrorisma atau keganasan. Perkataan ”Islam” itu sendiri memberi makna keamanan, kesejahteraan. Agama Islam tersebar ke seluruh dunia secara aman. Ramai yang tertarik dengan Islam kerana Islam memenuhi tuntutan naluri jiwa manusia, kerana orang Islam menjadi contoh teladan dan ikutan yang baik.

Memang ada segelintir orang Islam yang ‘‘berkecimpung” dalam bidang keganasan dan perkara-perkara yang sewaktu dengannya. Ada yang terpaksa bertindak sedemikian demi mempertahankan hak dan nyawa mereka sepertimana yang berlaku di Palestin.

Sehubungan dengan itu, Dato’ Mukhriz Tun Mahathir menggariskan 3 cabaran yang perlu diselesaikan oleh umat Islam pada masa kini.

“Cabaran pertama ialah pembinaan pandangan hidup (tasawwur / worldview / weltenschaung) yang benar tentang Islam. Bagaimana kita dapat wujudkan pandangan hidup atau “tasawwur” Islam yang sebenar di kalangan masyarakat supaya agama Islam itu dilihat bukan hanya dari satu dimensi semata-mata, misalnya dari dimensi perundangan sahaja, atau dimensi politik sahaja. Dimensi lain dalam peradaban Islam seperti tradisi keilmuwan, senibina, kebudayaan, akal budi, kesenian, ekonomi dan perdagangan, kewangan dan perbankan, pelancongan dan perindustrian, pertanian dan pembangunan lestari, malah bahasa dan kesusasteraan, diketepikan.

Cabaran kedua ialah penterjemahan Agama Islam dalam Pembangunan. Bagaimana kita dapat terjemahkan agama Islam dalam konteks pembangunan manusia pada hari ini yang mana kemajuan peradaban hidup manusia sudah menjadi semakin kompleks berbanding dahulu. Banyak perkara-perkara baru dalam masyarakat yang memerlukan tindakan secara yang teratur, berkesan dan berhemah. Misalnya, melonjakkan instrumen kewangan Islam sebagai alternatif kepada instrumen kewangan dunia yang kita lihat sudah gagal, penglibatan umat Islam sebagai pemimpin bukan semata-mata pengguna ICT, dan sebagainya.

Cabaran ketiga ialah Penghayatan terhadap prinsip “ummatan wasato”. Bagaimana penghayatan kita sebagai “ummatan wasato” atau umat yang sederhana iaitu umat yang tidak berlebih-lebihan,” ujarnya ketika merasmikan Seminar Islam Anti Terrorisme anjuran Pertubuhan Kebajikan Al-Niddaa di ibu kota pagi tadi.

Sekiranya diperluaskan konsep ini, ianya akan turut melibatkan anjuran supaya masyarakat berpegang teguh kepada prinsip menghormati kebebasan iaitu kebebasan dari sebarang belenggu ketidakadilan baik akibat sistem kerja yang tidak cekap atau pemimpin yang zalim dan lemah.

Selain itu, prinsip keadilan sosial turut memberi perhatian kepada golongan fakir miskin dan yang melarat, menyediakan peluang pendidikan dan peluang untuk berdaya saing kepada semua tidak kira yang kaya dan miskin, yang tinggal di bandar mahupun yang jauh di pedalaman, yang dari parti sendiri, yang bukan dari parti sendiri mahupun yang tidak berparti. Ia akan memberi bantuan mengikut keutamaan dan bukan mendahulukan ahli keluarga, saudara mara, memperbetulkan setiap yang menyeleweng tanpa mengira kedudukan.

Kita menjadi pelindung kepada yang lemah dan yang teraniaya, menjadi pemimpin, pentadbir dan penguatkuasa yang amanah, tidak menindas, tidak rakus, tidak zalim, tidak mengutamakan kaum kerabat sendiri. Kita juga harus mengelakkan diri kita dari sikap caci maki, gelaran-gelaran buruk, menghina, dendam kesumat dan buruk sangka sehingga masyarakat berpecah belah.”

“Inilah 3 cabaran yang pada pandangan saya perlu diberi perhatian oleh seluruh umat Islam bukan sahaja di Malaysia malah di seluruh dunia. Apa yang ingin saya sampaikan ialah gesaan supaya kita sebagai umat Islam memikirkan perkara yang boleh kita lakukan sebagai umat yang terpilih,” ujarnya yang juga Pengarah Eksekutif Persana Global Peace Organisation.

Untuk berhadapan tanggapan salah bahawa Islam itu menggalakkan keganasan, dengan bertindak secara emosi dan semangat melawan semata-mata bukanlah satu tindakan yang efektif malah tidaklah mendatangkan kesan. Sebaliknya, sekiranya kita mengembleng kekuatan supaya menjiwai kecemerlangan dan menjadi “terer” dalam pelbagai bidang yang membina peradaban bangsa dan agama, kita tidak akan lagi dianggap sebagai “terrorist”.

Tags:

About author

Curabitur at est vel odio aliquam fermentum in vel tortor. Aliquam eget laoreet metus. Quisque auctor dolor fermentum nisi imperdiet vel placerat purus convallis.

0 Komen

Post a Comment