MERDEKA! MERDEKA! MERDEKA!


Apalah ertinya sebuah kemerdekaan kalau dalam jiwa anak muda hari ini hanya tahu menikmati nikmat kemerdekaan tanpa mahu menoleh ke belakang untuk menilai susah payahnya pejuang-pejuang terdahulu berjuang untuk kita menikmati nikmat kemerdekaan pada hari ini.

Malah yang lebih menyedihkan, di saat-saat kita mahu meraikan ulangtahun kemerdekaan Malaysia ke-53 tahun, ada iklan syarikat-syarikat gergasi mempersendakan pula perjuangan pejuang-pejuang terdahulu dengan iklan keretanya.

`Susahnya perjuangan menuntut kemerdekaan, - kerana tidak memandu kereta Toyota.’ Mungkin ramai yang tidak perasan atau mungkin fikir ia hanya sekadar sebuah iklan tetapi jika iklan tersebut didengar di dalam kubur pejuang-pejuang terdahulu..... fikirkanlah apa perasaan mereka.

Hakikatnya, kita makin menjauhkan diri kita dan pewaris-pewaris kita dengan perkataan SEJARAH. Malah subjek sejarah di sekolah ‘makin dikecilkan dan dinafikan peranannya’ dalam membentuk generasi pelapis kepimpinan Negara kita. Janganlah sampai ada lagi kata-kata yang Menteri Pelajaran kita terpaksa kecilkan peranan subjek sejarah sebab anak-anaknya tak suka subjek sejarah.

Oleh itu, sempena 31 Ogos 2010- saya sebagai Pengerusi GPMS Selangor berharap agar matapelajaran sejarah dijadikan subjek wajib di peringkat sekolah bagi memastikan generasi muda mempunyai kefahaman mendalam tentang sejarah, sebagai satu saranan dan pandangan yang harus diambil tindakan segera oleh pihak berwajib.

Kementerian Pelajaran Malaysia harus memperkasakan semula mata pelajaran sejarah di kalangan pelajar termasuk memperkenalkannya di peringkat sekolah rendah dan menjadikannya mata pelajaran wajib lulus dalam peperiksaan utama.

Aku melihat hal ini amat penting dalam usaha mempertingkatkan semangat patriotisme di kalangan pelajar selain memberikan kefahaman kepada mereka terhadap sejarah tanah air. Sudah sampai masanya perkara itu diberikan pertimbangan sewajarnya berikutan pembabitan golongan pelajar dan remaja hari ini dalam anasir negatif termasuk demonstrasi jalanan, meniup api perkauman di dalam Facebook selain video klip yang sengaja dibuat untuk mengeruhkan hubungan kaum dalam Negara kita.

Hal ini berlaku kerana mereka kurang memahami, apatah lagi mahu menghayati sejarah tanah air kerana mereka adalah rakyat yang hidup selepas zaman kesusahan terutama ketika perang dahulu.

Mereka kurang didedahkan dengan sejarah susah payah menuntut kemerdekaan dan membangunkan negara selepas kemerdekaan sehingga membolehkan menikmati sesuatu yang hebat hari ini.

Kewajaran mata pelajaran sejarah diperkenalkan di peringkat sekolah rendah penting kerana murid sekolah rendah perlu diberikan lebih banyak pendedahan khasnya mengenai tokoh-tokoh penting negara sebelum merdeka yang telah meletakkan perpaduan dan bertolak-ansur sebagai fomula teras di dalam memerdekakan Tanah Melayu seperti Tunku Abdul Rahman, Tan Cheng Lok dan VT Sambantan.

GPMS juga mencadangkan agar Kajian Sejarah yang kini hanya melibatkan pelajar-pelajar tingkatan satu hingga tiga diperluaskan kepada pelajar-pelajar tingkatan empat hingga enam bagi memberikan peluang seluas-luas kepada mereka untuk membuat kajian serta penyelidikan mengenai fakta-fakta yang mereka pelajari di dalam mata pelajaran sejarah.

Demi memastikan pelajar-pelajar menghayati serta menilai sejarah khasnya yang berkaitan dengan negara, GPMS juga mencadangkan agar Kementerian Pengajian Tinggi mensyaratkan setiap pelajar mestilah lulus di dalam mata pelajaran sejarah sebagai syarat untuk memohon ke IPTA dan menjadikan mata pelajaran sejarah sebagai mata pelajaran wajib di semua IPTA.

Dengan cara ini ini GPMS yakin ia juga akan dapat menyuntik semangat cintakan negara di kalangan pelajar selain memupuk kesedaran yang tinggi agar mereka tidak terjebak dengan gejala yang merugikan dan seterusnya bakal membawa kesan jangka panjang yang sangat positif terhadap golongan pelajar dan generasi muda negara ini.

Tags:

About author

Curabitur at est vel odio aliquam fermentum in vel tortor. Aliquam eget laoreet metus. Quisque auctor dolor fermentum nisi imperdiet vel placerat purus convallis.

0 Komen

Post a Comment