Kuala Lumpur, 23 Jun- Ketua Penerangan UMNO, Datuk Ahmad Maslan berkata, hasil perbincangan dan pertemuannya bersama Pertubuhan Permuafakatan Majlis Ayahanda-Ayahanda Malaysia (PERMAS) hari ini, meletakkan harapan agar usaha perpaduan Melayu sebagaimana yang pernah diusahakan sebelum ini diteruskan, demi memastikan kesinambungan dan perpaduan orang Melayu dan pemerkasaan agama Islam dalam negara kita.
”Itulah agenda besar yang menjadi topik perbincangan kami hari ini. Perpaduan bukan setakat dalam parti siasah tetapi perpaduan kita dalam bidang ekonomi, sosial dan pendidikan.
Permas yang dianggotai seramai 1.8juta orang, bukan satu bilangan yang kecil melihat perlunya perbincangan perpaduan Melayu antara UMNO dan Pas diteruskan, dan apa yang kita tumpu ialah apa yang menghalang perpaduan Melayu, mengapa Melayu tidak bersatu dan apakah kepentingan Melayu bersatu,” ujarnya kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan Permas di Ibu Pejabat UMNO sebentar tadi.
Ujarnya, hari ini kesepakatan yang diambil oleh Ayahanda-ayahanda dari Permas ini ialah Melayu harus terus berusaha untuk bersatu padu sama ada dalam kumpulan siasah ataupun bersatu-padu pada usaha-usaha niaga, ataupun bersatu-padu dalam masyarakat dari segi kumpulan-kumpulan dalam kumpulan yang berbagai.
Dalam masa yang sama, Ahmad membidas naib ketua Pemuda PAS, Raja Ahmad Al-Hiss bahawa UMNO tidak ada di Sarawak sebaliknya kompenan BN iaitu PBB yang membawa dan mengetuai perjuangan BN di Sarawak.
”Tak bolehlah salahkan UMNO, sebab UMNO tidak ada pun di Sarawak. Perkara itu, tak perlulah diperbesar-besarkan sebaliknya agenda besar perpaduan Melayu inilah yang harus kita fokus sekarang ini,” ujarnya mengulas kenyataan Naib Ketua Pemuda Pas, yang melihat kegagalan ADUN berkenaan menyarungkan songkok dan berbaju rasmi persidangan adalah kerana gagalnya UMNO dalam mendidik rakyat bagi memahami budaya adat resam orang Melayu dan agama Islam di negara ini.


0 Komen
Post a Comment