Kajian Tunjukkan Populariti PM Menurun Tidak Jelas - Lajim

Beaufort, 7 September- Keputusan kaji selidik oleh Merdeka Centre baru-baru ini yang menunjukkan tahap populariti atau tidak puas hati rakyat terhadap kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak telah merosot, tidak mewakili sokongan keseluruhan rakyat di negara ini.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Panglima Haji Lajim Haji Ukin berkata, kajian tersebut hanya melibatkan responden terpilih dan tidak mengambilkira pandangan masyarakat luar bandar dan penduduk Sabah dan Sarawak yang menyokong padu Perdana Menteri itu.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kajian Merdeka Centre For Opinion Reseach, yang melaporkan penarafan Datuk Seri Najib menurun 6 peratus daripada 65 peratus pada Mei 2011 kepada 59 peratus pada Ogos.

Katanya, berdasarkan interaksi dengan rakyat, Perdana Menteri begitu dihormati dan disenangi rakyat. Hal itu dapat dilihat dalam beberapa siri lawatan beliau ke negeri-negeri, termasuk di Sabah. Malah, Perdana Menteri merupakan seorang pemimpin yang berjiwa rakyat dan begitu memahami masalah rakyat secara keseluruhannya.

“Sebaik menjadi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib telah memperkenalkan gagasan Satu Malaysia dan menggariskan beberapa pendekatan untuk mencapai matlamatnya. Antaranya, Bidang Keberhasilan Ekonomi Negara (NKRA) dan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) di semua peringkat pentadbiran” jelas Lajim

Menurut Lajim yang juga Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, langkah itu untuk memastikan penjawat awam dan pemimpin menjalankan tugas dengan penuh dedikasi kepada rakyat, terutama penduduk luar bandar.

Beliau yang mempersoalkan ketepatan kajian itu turut menyifatkan ianya seperti dirancang pihak tertentu yang mempunyai agenda khusus.

Sehubungan dengan itu Lajim berharap, rakyat tidak terkeliru dan percaya dengan kaji selidik tersebut kerana ia mewakili suara minoriti dan bukan rakyat keseluruhan.

Beliau yakin, hasil kajian berkenaan tidak akan melemahkan Barisan Nasinal (BN) yang diterajui perdana menteri, sebaliknya bekerja keras untuk memastikan BN terus memerintah.

Tags: ,

About author

Curabitur at est vel odio aliquam fermentum in vel tortor. Aliquam eget laoreet metus. Quisque auctor dolor fermentum nisi imperdiet vel placerat purus convallis.

0 Komen

Post a Comment