
Kuala Lumpur, 9 September- Pergerakan Pemuda UMNO Gombak melihat usaha Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim ke Jerman untuk mencari dan menarik pelaburan ke negeri Selangor merupakan satu usaha yang sia-sia.
Ketua Pemuda UMNO Gombak, Megat Zulkarnain Megat Omar Din berkata, kita tahu tujuannya ke sana untuk membawa rakan-rakan peniaga dari negara Jerman untuk membuat pelaburan di negeri Selangor tetapi persoalannya kenapa selepas tiga tahun lebih memerintah Selangor, kenapa baru ini baru terfikir untuk soal pelaburan negeri?
”Ini adalah semata-mata untuk mengaburi mata rakyat dan apa yang kita lihat, Selangor yang di bawah pimpinan kerajaan gabungan PKR-DAP dan PAS ini mengalami defisit yang cukup kuat ke atas ekonomi kerajaan negeri Selangor sendiri.
Persoalan kedua, mengapa ada rombongan pelaburan ke luar negara, EXCO Pelaburan tidak dibawa bersama. Saya fikir ini satu perkara yang rakyat Selangor perlu jelas bahawa apa yang dibuat oleh Menteri Besar Selangor dan barisan EXCOnya dan kerajaan negerinya, merupakan satu tindakan yang main-main, bukanlah satu keputusan yang benar-benar kepada negeri Selangor yang akhirnya akan menguntungkan rakyat negeri Selangor,” ujarnya ketika ditemui UMNO-Online di Ibu Pejabat UMNO sebentar tadi.
Ujarnya yang juga EXCO Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, di mana peranan Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku Penasihat Ekonomi Selangor. Adakah Anwar langsung tidak mempunyai masa untuk mencari pelaburan ke negeri Selangor, walaupun kita faham bahawa Anwar juga perlu menguruskan hal-hal `peribadi’ selain masalah ekonomi dan pelaburan negeri Selangor.
”Kita tahu dulu, secara lantangnya, secara megahnya melantik Anwar Ibrahim sebagai Penasihat Ekonomi Selangor. Tapi dukacita, sehingga hari ini selepas bertahun-tahun lantikan tersebut tidak ada satu pun pelaburan yang boleh menguntungkan rakyat negeri Selangor ini dibuat dalam negeri Selangor.
Jadi, saya melihat apa yang dibuat oleh kerajaan negeri khususnya Menteri Besar adalah untuk mengaburi mata rakyat dalam menghadapi Pilihan Raya Umum yang akan datang. Jadi saya percaya rakyat negeri Selangor khususnya, dan rakyat Malaysia amnya, sedar bahawa apa kerajaan negeri Selangor yang ada hari ini merupakan sebuah kerajaan yang memang tidak boleh memimpin negeri Selangor apatah lagi memberikan kemewahan ekonomi kepada rakyat negeri Selangor khususnya,” ujarnya lagi.


0 Komen
Post a Comment