Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu kini merupakan 'pembesar suara' kepada agenda yang diperjuangkan DAP, kata Naib Ketua Pemuda UMNO Datuk Razali Ibrahim.
Menurutnya, tindakan pemimpin pembangkang itu menyifatkan anggota polis yang terkorban dalam tragedi itu sebagai pegawai British dan bukannya hero sebenar adalah satu penghinaan kepada keluarga mangsa tragedi itu.

"Dalam erti kata lain, DAP kini sudah berjaya berada di dalam barisan kepimpinan Pas dan saya tidak terkejut jika Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng banyak membantu Mohamad memenangi jawatan Timbalan Presiden Pas baru-baru ini,'' katanya.
Beliau mengulas kenyataan Mohamad yang menganggap pengganas dalam Kompeni Pasukan Keempat PKM yang menyerang dan membunuh anggota keselamatan dan keluarga mereka dalam tragedi Bukit Kepong pada 23 Februari 1950 sebagai hero sebenar.
Dalam ceramahnya di Tasek Gelugor, Pulau Pinang pada 21 Ogos lalu juga, Mohamad turut mendakwa Datuk Onn Jaafar dan Tunku Abdul Rahman Putra tidak layak dianggap sebagai pejuang kemerdekaan kerana merupakan pegawai British.
Justeru Razali berkata, Mohamad Sabu juga patut meminta maaf kepada seluruh rakyat Malaysia kerana sanggup memesongkan fakta sejarah semata-mata kerana kepentingan politik.
Sementara itu, Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad berkata, Mohamad Sabu yang cuba membohongi masyarakat Malaysia tentang sejarah Bukit Kepong membuktikan beliau pemimpin yang kuat berbohong dan ‘tidak boleh pakai.’
Katanya, sebelum ini, Mohamad cuba memutar belit insiden ‘dilanggar’ kenderaan polis ketika perhimpunan haram 9 Julai lalu dan baru-baru ini, cuba mengelirukan fakta sejarah berhubung Bukit Kepong.
“Kita semua sudah kenal dengan karakternya, dia memang percaya tindakan berbohong itu boleh membawa kejayaan kepada dirinya. Mat Sabu tidak kekok untuk menipu kerana ia telah jadi sebahagian daripada darah dagingnya.
“Saya percaya dia memang teringin untuk ubah semua fakta sejarah tanah air kerana dia mahu orang ramai mengenali dirinya, dia suka popular," katanya. -kitagempur


0 Komen
Post a Comment