Selangor teruskan rancangan roboh asrama YS, alasan lokasi tidak sesuai



Nampak gayanya, PKR Selangor akan meneruskan usaha rancangan mereka untuk merobohkan dua asrama milik Yayasan Selangor (YS) di Kampung Pandan, Kuala Lumpur untuk melaksanakan aktiviti pembangunan bernilai tinggi.

Ianya diakui sendiri Menteri Besar, Tan Seri Abdul Khalid Ibrahim baru-baru ini, keputusan itu dibuat dengan alasan bahawa strategi YS menempatkan anak-anak Selangor di Asrama Toh Puan Norashikin dan Asrama Tun Dr. Ismail di sekolah di kawasan  bandar seperti Kuala Lumpur tidak lagi sesuai.

Malah katanya, berdasarkan penelitian pihaknya, selepas tahun 2000, pencapaian pelajar sekolah di luar bandar adalah lebih baik daripada sekolah di kawasan bandar selain kuota pelajar yang ditetapkan Kementerian Pelajaran di sesebuah sekolah.

"Sebagai Contoh, anak-anak Selangor ditempatkan di setiap sekolah ternama di Kuala Lumpur seperti Victoria Institution dan St. John Institution telah dikurangkan oleh Kementerian Pelajaran dari 20 orang kepada 5 orang untuk satu sekolah sahaja mulai tahun 2000.

"Oleh itu, pihak Yayasan Selangor terpaksa menghantar pelajar-pelajar tajaan mereka ke sekolah luar dari Kuala Lumpur seperti di Petaling Jaya. Keadaan ini menyebabkan para pelajar menghabiskan masa kira-kira tiga jam dalam perjalanan pergi dan balik dari asrama ke sekolah masing-masing," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Datuk Mohammad Bushro Mat Johor (BN-Paya Jaras) yang mempersoalkan tindakan kerajaan negeri mahu meneruskan pembangunan di atas tapak dua asrama berkenaan selain apakah bentuk pembangunan baru yang akan dibangunkan di lokasi berkenaan.

Mengulas lanjut, Abdul Khalid menyatakan bahawa ketika ini YS hanya boleh menampung pelajar tidak melebihi 1,500 orang di kedua-dua asrama berkenaan.

Dalam pada itu, beliau menyatakan kerajaan negeri dijangka akan membentangkan perancangan yang dibuat terhadap YS melibatkan soal pendidikan dan pengurusan akaun yayasan itu dalam sidang DUN, Isnin ini.

Jelasnya, sehingga kini, nilai aset YS berjumlah lebih RM500 juta yang boleh digunakan untuk melaksanakan perancangan-perancangan yang telah dibuat.

"Kita akan membuat penilaian setiap aset-aset yang dimiliki oleh YS.  Daripada penilaian itu, kita boleh melaksanakan pembinaan sebuah sekolah berasrama penuh milik YS di Bestari Jaya. "Dengan adanya sebuah sekolah berasrama penuh lebih 2,000 pelajar tajaan dapat ditempatkan," ujarnya.
Tags: , ,

About author

Curabitur at est vel odio aliquam fermentum in vel tortor. Aliquam eget laoreet metus. Quisque auctor dolor fermentum nisi imperdiet vel placerat purus convallis.

0 Komen

Post a Comment