Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun
Razak berkata kerajaan telah membatalkan tiga proklamasi darurat adalah kerana
yakin rakyat kini telah bersedia untuk memasuki era baru.
"Kerajaan percaya bahawa setelah lebih
separuh kurun merdeka dan mengamalkan demokrasi, masyarakat berbilang kaum di
Malaysia telah mencapai tahap kematangan yang tinggi.
"Berpegang kepada hal itu, kita kini bersedia
memasuki era baru di mana fungsi kerajaan tidak lagi dilihat sebagai mengehadkan
kebebasan individu, sebaliknya, untuk memastikan bahawa hak-hak asasi yang
dilindungi Perlembagaan bagi setiap individu itu terjamin," katanya dalam
ucapannya pada istiadat pertabalan Sultan Kedah Tuanku Abdul Halim Mu'adzam
Shah sebagai Yang di-Pertuan Agong ke 14 di Istana Negara di sini hari ini.
Najib berkata: "Selanjutnya, satu perimbangan
adil, dapat pula ditemui antara kebebasan seseorang dan keselamatan
kebangsaan."
Beliau berkata bersesuaian dengan iltizam
itu, kerajaan melalui Parlimen telahpun membatalkan tiga proklamasi darurat
yang masih berkuasa dan akanmembiarkan kesemua ordinan di bawah perisytiharan
tersebut mansuh pada bulan Jun ini kecuali tiga ordinan yang akan dibentangkan
sebagai rang undang-undang baru di Parlimen iaitu yang berkaitan dengan RELA,
Rukun Tetangga dan Undang-Undang Laut Wilayah.
Perdana Menteri berkata kerajaan juga telah
mengambil langkah-langkah memansuhkan Akta Kediaman Terhad, Akta Buang Negeri
dan menggubal Akta Perhimpunan Aman
serta meminda Akta Universiti dan Kolej Universiti atau AUKU.
Najib berkata Isnin ini beliau akan
membentangkan rang undang-undang bagi memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri
(ISA) di persidangan Dewan Rakyat.
"Pada
hemah kerajaan, meskipun ISA telah banyak berjasa kepada negara, ia telahpun
melampaui jangka hayat kegunaannya. Kita memerlukan kerangka baru perundangan
keselamatan nasional dalam era kontemporari yang semakin kompleks," katanya.
Najib juga berkata di bawah undang-undang baru,
kerajaan mengambil keputusan untuk menghapuskan kuasa tahanan tanpa perbicaraan
dimiliki Menteri Dalam Negeri manakala tahanan oleh pihak berkuasa bagi tujuan
siasatan kini dipendekkan.
"Kuasa semakan kehakiman pula akan
dikembalikan sepenuhnya kepada Mahkamah. Rang Undang-Undang ini juga menjamin
bahawa tidak ada seorangpun rakyat Malaysia boleh ditahan kerana kepercayaan
atau aktiviti politiknya," katanya.
Najib berkata Rang Undang-Undang Kesalahan Keselamatan
yakni Langkah-Langkah Khas, yang dibacakan buat pertama kali di persidangan
Dewan Rakyat semalam, bukan sahaja akan memastikan pihak berkuasa mempunyai
senjata perundangan yang cukup bagi memerangi keganasan global dan mempertahankan
demokrasi berParlimen di Malaysia, tetapi juga untuk memelihara hak kebebasan
warganegara.
"Semua prakarsa, inisiatif dan program ini
adalah tidak lain dan tidak bukan untuk memastikan tempoh pemerintahan Tuanku,
InsyaAllah, akan menempa sebuah kala demokrasi keemasan di Malaysia,"
katanya.
Menyentuh mengenai hubungan Raja dan rakyat, Perdana
Menteri berkata sejarah telah membuktikan apabila perhubungan antara keduanya
disuburi keharmonian serta dibajai emosi dan kerohanian yang mendalam, maka
sebarang apa pun kemelut yang dihadapi negara dapat ditangani dengan jayanya.
"Kendatipun pertautan raja dan rakyat
sedang menelusuri jejak-jejak waktu, namun ia kekal relevan mendakap realiti
semasa," katanya.
Najib, mewakili kerajaan dan rakyat
seluruhnya, turut merakamkan rasa bangga kerana tonggak institusi Yang
di-Pertuan Agong sebagai kepala utama Negara kembali dipegang oleh Tuanku Abdul
Halim yang sangat berpengalaman dan terkenal mengasihi rakyat jelata.
Katanya istiadat pertabalan yang penuh bersejarah
hari ini, di mana Tuanku Abdul Halim ditabalkan sebagai Yang di-Pertuan Agong
buat kedua kalinya, juga turut menjadi perlambangan betapa utuhnya institusi
kebangsaan yang telah terzahir sejak lebih lima dekad lalu.
"Inilah cerminan kebijaksanaan
pentadbiran bapa-bapa pengasas pertiwi tercinta yang bertali arus lagi sambung
menyambung semenjak Almarhum Tunku Abdul Rahman sampailah kini dalam mengadun
dan menenun fabrik warisan lampau serta keperluan masa depan demi mencipta
kestabilan nasional," katanya.
Tuanku Abdul Halim dilantik sebagai Yang di-Pertuan
Agong Kelima pada 1970 semasa berusia 42 tahun, dan kini empat dekad kemudian,
baginda ditabalkan sekali lagi sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-14 pada usia
84.
Najib turut melahirkan rasa bertuah kerana
dapat berkhidmat dengan Tuanku Abdul Halim sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-14
memandangkan semasa Tuanku Abdul Halim ditabalkan sebagai Yang di-Pertuan Agong
Kelima pada 1970, ayahandanya Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein adalah
Perdana Menteri pada masa itu.
Najib berkata beliau dan keluarganya mengambil
kesempatan melahirkan rasa bertuah kerana "setelah Allahyarham ayahanda
patik berpeluang berkhidmat dengan Tuanku, kini ditakdirkan pula giliran patik
untuk menumpah khidmat. Segalanya dalam perhitungan Allah, dan mudah-mudahan
Tuhan yang Maha Esa memberi pertolongan dan inayah-Nya kepada kita semua,"
katanya.
0 Komen