Pelantikan semula dua anggota Exco Kedah yang
sebelum ini menolak pelantikan sebagai anggota pentadbiran Kerajaan Kedah
memperlihatkan kepincangan kerajaan negeri pimpinan Pas, kata Timbalan Perdana
Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Beliau berkata penubuhan Jawatankuasa Pemandu
oleh Pas Pusat untuk memantau kerajaan negeri menjejaskan kredibiliti Menteri
Besar yang hendak membuat kerja.
“Apabila satu orang dipilih menerajui
kerajaan negeri, ia adalah amanah rakyat dan tidak boleh diperkecilkan. Menteri
Besar buat kerja betul tapi kena rujuk dengan jawatankuasa. Bagaimana nak buat
keputusan cepat?
“Sekiranya Pas ikut perlembagaan
Undang-undang Tubuh Negeri, masalah ini tidak timbul. Jawatankuasa ini pula
dianggotai oleh orang bukan rakyat Kedah. Macam mana nak penuhi kehendak
rakyatnya,” kata Muhyiddin semasa berucap pada perjumpaan khas Timbalan Perdana
Menteri bersama peniaga kecil dan pemandu teksi negeri Kedah di sini, Khamis.
Katanya setiap keputusan Menteri Besar yang
perlu merujuk Jawatankuasa Pemandu berkenaan hanya memperlahankan proses
membuat keputusan dan akhirnya memberi kesan terhadap peniaga, rakyat dan
ekonomi negeri.
Dua anggota exco Kedah, Datuk Phahrolrazi
Zawawi dan Datuk Dr Ismail Salleh yang menolak pelantikan semula bersetuju
dilantik semula selepas campur tangan Pas Pusat dan mengangkat sumpah jawatan
di hadapan Pengerusi Jemaah Pemangku Sultan Kedah Datuk Seri Tunku Annuar
Sultan Badlishah di Istana Anak Bukit, di Alor Setar, Khamis.
Kedua-dua Exco berkenaan sebelum enggan
dilantik semua kerana mempunyai perbezaan pendapat dengan Menteri Besar Datuk
Seri Azizan Abdul Razak dalam soal pentadbiran kerajaan negeri.
Senarai Exco yang dikeluarkan selepas majlis
angkat sumpah itu menyaksikan perubahan porfolio masing-masing dengan
Phahrolrazi kini menjadi Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Bekalan Air,
Sumber Air dan Tenaga, manakala Dr Ismail sebagai Pengerusi Jawatankuasa
Badan-badan Bukan Kerajaan (NGO), Sains dan Inovasi, Teknologi Maklumat dan
Komunikasi.
Sebelum ini, Phahrolrazi memegang jawatan
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Kerja Raya, Bekalan
Air, Sumber Air dan Tenaga, manakala Dr Ismail selaku Pengerusi Jawatankuasa
Kesihatan, Badan-badan Bukan Kerajaan (NGO) dan Pembangunan Insan, Sains dan
Inovasi, Teknologi Maklumat dan Komunikasi.



0 Komen
Post a Comment