Usaha
Pakatan Rakyat memperkenalkan bendera baru bagi menukar Jalur Gemilang
benar-benar memakan diri parti tersebut.
Walaupun Anwar bersungguh-sungguh cuba menafikan yang PR punya sebarang
niat sedemikian, namun pengakuan pegawai Anwar untuk tugas
sebagai penasihat ekonomi Selangor, Najwan Halimi, sebagai pencipta bendera
tersebut, menyebabkan penafian Anwar terkantoi.
Najwan telah
mempertahankan bendera Sang Saka Bangsa ciptaannya yang didakwanya dicipta
seawal tahun 2007. Profile facebook
Najwan menamakan dirinya sebagai Timbalan Ketua Penerangan AMK Malaysia,
seorang pengamal politik ‘moderate’ dan pengasas serta pengarah Akademi Pak
Sako, sebuah akademi yang menggunakan nama Pak Sako, nama sebenar kepada Ishak
Haji Muhammad, individu yang mengagaskan idea penyatuan Melayu Raya Indonesia,
Malaysia dan Brunei.
Perlu diingatkan iaitu,
pada tahun 2003, PKR, pada ketika itu memakai nama Parti Keadilan Nasional
(PKN) telah bergabung dengan Parti Rakyat Malaysia (PRM) iaitu satu-satunya
parti berhaluan kiri yang masih wujud pada hari ini.
Mengimbas sejarah PRM,
pada tahun 1958, PRM pimpinan Ahmad Boestamam telah bergabung dengan Parti
Buruh Malaya, pimpinan Pak Sako dan Parti Perhimpunan Kebangsaan, pimpinan
Abdul Aziz Ishak) dan menamakan gabungan mereka sebagai Barisan Sosialis Rakyat
Malaya (Malayan People’s Socialist Front) yang berhaluan kiri.
Sebelum itu, pada tahun
1938 Ahmad
Boestamam menubuhkan Gerakan Kiri Tanah Air (KITA) yang bekerjasama
dengan Parti Komunis Malaya bagi menentang Jepun. Beliau kemudiannya menubuhkan Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) pada tahun
1945.
PKMM mempunyai dua
cawangan pemuda dan pemudi iaitu Angkatan Pemuda Insaf (API) yang dipimpin oleh
Boestamam, dan Angkatan Wanita Sedar (AWAS) yang dipimpin oleh Shamsiah Fakeh
yang juga salah seorang aktivis komunis.
Pada tahun 1947, PKMM
dipimpin pula oleh Pak Sako.
PKMM kemudiannya,
menubuhkan Pusat Tenaga Rakyat (PUTERA) dan bergabung pula dengan AMCJA
(All-Malaya Council of Joint Action) sebagai gabungan kumpulan sosialis
Malaya. Gabungan ini bertujuan menentang kandungan Perjanjian
Persekutuan 1948 untuk penubuhan Persekutuan Tanah Melayu.
Ini kerana PKMM lebih
cenderung bagi Tanah Melayu menyertai Indonesia bagi mendapat kemerdekaan pada
1949.
Dalam usaha
merealisasikan gagasan ini, PKMM mengambil bendera kebangsaan Indonesia – Sang
Saka Merah Putih sebagai bendera parti dan lagu kebangsaan Indonesia Raya
sebagai lagu kebangsaan PKMM yang sering dinyanyikan dalam perhimpunan PKMM.
Dan bendera inilah yang
begitu mirip dengan bendera ciptaan Najwan dari segi nama dan juga rupa. Ia juga membawa ciri-ciri komunis iaitu latar
merah dan bintang kuning.
Oleh itu, persoalan yang
timbul ialah, apakah ‘roh’ Pak Sako dan komunis hanya satu kebetulan dalam
bendera Sang Saka Bangsa? Apakah
kecenderungan PR untuk mengwirakan Mat Indera, seorang pengganas komunis,
merupakan sebahagian dari keseluruhan agenda besar komunisme?
Apabila berlaku
konfrontasi Indonesia-Malaysia pada 1963, Ahmad Boestamam, Pak Sako dan Aziz
Ishak ditahan di bawah undang-undang Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) kerana
menjadi pembelot negara dengan bersekongkol dengan Indonesia.
Dan apa yang ironi di
sini ialah, Anwar juga dianggap sebagai pengkhianat negara dan sering
mengunjungi Indonesia untuk memburuk-burukkan Malaysia serta menghasut rakyat
di negara tersebut agar memandang serong dan rendah terhadap rakyat dan negara
ini. Seolah-olah beliau cuba
menggerakkan satu konfrontasi pula.
Mungkinkah impian Anwar
setinggi itu iaitu memanjangkan idea Pak Sako iaitu menggabungkan
Indonesia-Malaysia dengan meletakkan dirinya sebagai Ketua bagi gugusan Melayu
rantau ini?
Apakah jenis pemimpin
yang dengan sengaja ‘menjemput’ negara asing menjajah kita sedangkan pemimpin seharusnya mempertahankan
negara dari dijajah? Apalagi negara yang
jauh lebih mundur dari kita seperti Indonesia.
Kita tidak dapat
membayangkan adanya sebarang penjelasan yang masuk akal dari pihak PR berkenaan
isu bendera Sang Saka Malaya ini. PR
boleh terus menafi, tetapi kerosakan telah pun berlaku. Rakyat kini telah sedar siapakah PR dan
apakah agenda besar parti ini untuk Malaysia. (BB)
0 Komen