Tidak Tunai Janji, Rakyat Pula Cuba Diperbodohkan.. Khalid Patut Letak Jawatan - GPRS


Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim dicabar untuk meletakkan jawatan sebagai Menteri Besar sekiranya kerajaan di bawah pimpinannya itu tidak mampu untuk melaksanakan segala manifesto yang dijanjikan terhadap rakyat dan bukannya memperbodohkan rakyat dengan memutar belitkan kenyataan mengatakan bahawa manifesto itu bukanlah satu janji.

Pengerusi Gerakan Prihatin Rakyat Selangor (GPRS) , Datuk Sohaimi Shahadan membidas MB  dengan berkata bahawa Tan Sri Khalid sendiri dilihat keliru dan tidak faham akan apa makna sebenar manifesto apabila mengeluarkan kenyataan bahawa manifesto kerajaan Pakatan Pembangkang itu bukanlah satu janji kepada rakyat.

“Saya nak tanya kepada Tan Sri Khalid, kerana apa kerajaan PKR boleh memenangi pilihanraya dan menguasai Selangor? Sebab apa? Bukankah sebab manifesto kerajaan Pakatan Pembangkang yang menjanjikan langit dan bintang, menyebabkan mereka akhirnya berjaya menguasai Selangor?

Sohaimi Shahadan
“Sebab itu saya tegaskan, Tan Sri Khalid bersama kepimpinan PKR yang menerajui Selangor patut meletakkan jawatan jika tak mampu untuk laksanakan manifesto yang dijanjikan mereka kepada rakyat. Bukannya putar belit kenyataan dan cuba mengelirukan orang ramai dengan mengatakan manifesto itu bukan janji. Tak usah nak putar belit. Lagi putar, lagi nampak sikap penipu dan pembohongnya itu,” jelas beliau kepada UMNO Online di sini hari ini.

Sohaimi  juga meluahkan rasa sedih apabila melihat negeri Selangor hari ini ditadbir oleh seorang MB yang keliru dan tidak faham apa yang dikatakan, malah cuba pula untuk memperbodohkan rakyat untuk menutup kelemahan pentadbiran beliau yang semakin caca marba dan tidak mampu untuk menunaikan segala janji mereka kepada rakyat.

“Saya ulang sekali lagi, jika tidak mampu letak jawatan. Berikan tanggungjawab itu kepada parti yang benar-benar mampu untuk melaksanakan janji dan manifesto mereka kepada rakyat. Bukan hanya pandai berkata-berkata seperti burung kakak tua, tetapi tak mampu nak melaksanakannya. Inilah masalahnya apabila negeri ditadbir oleh seorang ahli korporat yang kurang arif tentang politik dan kehendak rakyat,” jelas beliau lagi.

Beliau juga menyeru kepada rakyat khususnya di Selangor, agar menolak kepimpinan Pakatan Pembangkang yang dilihatnya lebih kepada cuba untuk memperbodohkan rakyat dan mengambil sikap sambil lewa dalam melaksanakan segala janji-janji mereka kepada rakyat.

Katanya lagi, amat jelas hari ini, Pakatan Pembangkang bukanlah sebuah gabungan parti politik yang benar-benar mahu membela rakyat, sebaliknya hanyalah sebuah gabungan parti yang cuba untuk membohongi rakyat dengan menjanjikan bulan dan bintang, semata-mata untuk menjatuhkan kerajaan BN dan menguasai pentadbiran negeri atau negara.

“Apa yang berlaku hari ini sudah cukup sebagai bukti, bahawa kepimpinan Pakatan Pembangkang hanya tahu berpolitik dengan menghasut rakyat supaya berpecah belah, cuba huru harakan negara dengan perhimpunan yang kononnya menuntut keadilan, dan bermacam-macam cara lagi. Tetapi  apabila diberi mandat untuk menjalankan pentadbiran, mereka gagal untuk melaksanakannya. Ini baru pentadbiran negeri, jika negara tak tahulah bagaiman kelam kabutnya mereka memerintah nanti.

“Kemudian, apabila didesak oleh rakyat, mereka cuba memperbodohkan rakyat dengan memutar belitkan kenyataan seperti mana tindakan MB Selangor yang cuba putar belit dengan mengatakan pula hari ini, bahawa manifesto itu bukanlah janji mereka kepada rakyat. Ini semua bagi saya sudah cukup jelas, bahawa mereka hanya tahu menipu rakyat dan bukannya membela rakyat. Sudah sampai masanya rakyat menolak kepimpinan seperti ini yang akan menghancurkan negara satu hari nanti,” tegas beliau.

Sumber: GPRS-Online

Tags: , , ,

About author

Curabitur at est vel odio aliquam fermentum in vel tortor. Aliquam eget laoreet metus. Quisque auctor dolor fermentum nisi imperdiet vel placerat purus convallis.

104 Komen

Post a Comment