Subahan Kamal (BN- Taman Templer) |
Sesi penggulungan Sidang Dewan Undangan Negeri Selangor hari ini
tegang seketika selepas Anggota Dewan Undangan Negeri Taman Templer Datuk
Subahan Kamal membidas Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim semasa beliau
menggulung perbahasan ucapan Bajet 2013.
Subahan berkata beliau tidak memahami dan bingung dengan
penerangan Abdul Khalid mengenai belanjawan itu.
"Saya makin lama makin bingung kerana saya tidak faham apa
Menteri Besar dok cakap. Ini kursus kira-kira, accounting... ini kursus di UiTM
atau nak
bentangkan bajet?.
"Tapi bila menjawab tu, biarlah menjawab terus kepada
persoalan yang dibangkitkan bukan pusing satu dunia sampai ke Afrika sampai ke
Amerika," katanya menyebabkan Speaker Datuk Teng Chang Khim meminta
Subahan menarik balik perkataan bingung kerana ia bersangka jahat.
Subahan menjawab beliau tiada masalah untuk menarik balik
perkataan itu dan menyatakan bahawa Menteri Besar faham maksud beliau.
Bagaimanapun, Teng berkata dengan menjawab boleh tarik balik tidak
memberi erti jika Subahan tidak melakukannya.
"Saya tarik balik," kata Subahan dan Teng berkata:
"Tarik balik apa?"
"Bingung tak salah, bingung bukan sangkaan jahat," jelas
Subahan.
Keadaan itu membuatkan anggota-anggota pembangkang dari Barisan
Nasional seperti Datuk Amiruddin Setro (BN-Jeram) naik marah dan bangun
memprotes tindakan Teng itu.
Keadaan turut menjadi hingar bingar menyebabkan pembesar suara di
tempat duduk pembangkang ditutup.
Teng turut mengarahkan Amiruddin supaya duduk tetapi beliau enggan
menyebabkannya diarah keluar selama sejam dari sidang dewan mulai 5.10 petang.
Keadaan menjadi tenang selepas Teng meminta pihak pembangkang
bersabar untuk membolehkan Abdul Khalid menggulung perbahasan.
Terdahulu, Abdul Khalid berkata cara perbelanjaan dibuat pada masa
ini berbeza dari dulu kerana kecanggihan dan kepantasan teknologi maklumat.
"Kalau dahulu maklumat agak lambat diperoleh, tetapi kini
maklumat seperti prestasi kutipan hasil dapat diperolehi dalam tempoh tiga bulan
dan ini memudahkan perbelanjaan dapat diselaraskan dengan peningkatan pendapatan.
"Itu adalah antara sebab mengapa pada tahun lepas, setiap
kali sidang dewan diadakan peruntukan tambahan dimohon oleh kerajaan negeri,"
katanya.
Beliau berkata demikian sebagai menjawab perbahasan Ketua
Pembangkang Selangor Datuk Muhamad Satim Diman (BN-Seri Serdang) yang sangsi
Bajet 2013 kerajaan negeri berjumlah RM1.63 bilion akan kekal kerana
kemungkinan ada permohonan peruntukan tambahan seperti tahun-tahun
sebelumnya.
1:01 AM
jangan duduk banyak berangan brother,
pengundi akan membuang generasi UMNO hasil tangan Khir Toyo,
rakyat Selangor sedang menanti pemimpin UMNO yang boleh buat perubahan dan yang muda menawan.