Anwar Minta Bantuan Luar Bukan Mengejutkan, Taktik Lapuk Cari Pengaruh



Pendedahan berkaitan tindakan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dilaporkan menulis kepada Menteri Luar Australia, Senator Bob Carr untuk meminta negara terbabit membantu dalam Pilihan Raya Umum (PRU) di Malaysia bukanlah sesuatu yang mengejutkan.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor memberitahu bahawa tindakan mencari pengaruh luar bukanlah kali pertama dilakukan oleh penasihat PKR dalam usaha mendapatkan kuasa politik di negara ini.

“Ini bukanlah sesuatu yang luar biasa kerana Anwar telah pun acapkali bertindak sedemikian malah lebih dari itu apabila sanggup memburuk-burukkan negara sendiri lantaran mahu mengambil hati para pemimpin luar dan bersimpati kepadanya,” katanya.

Dilaporkan Anwar meminta bantuan Australia dalam PRU akan datang atas dakwaan untuk memastikan ia bebas daripada penipuan dan rasuah selain kononnya menemui bukti tentang penipuan dalam pendaftaran pemilih dan anomali lain dalam menghadapi pilihan raya.

“Apa lagi yang Anwar belum lakukan kerana sebelum ini dia bukan saja merendah-rendahkan kedudukan negara sendiri tetapi turut menganggap sistem demokrasi dan perundangan di Malaysia juga adalah lapuk dan ketinggalan,” katanya yang juga Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN).

Awal tahun ini, media turut melaporkan Anwar telah ke Turki dan menafikan Malaysia sebagai sebuah negara demokrasi selain tidak ada satu pun media yang ada di negara ini bebas untuk beroperasi serta mendakwa bahawa dia dipecat dari jawatan Timbalan Perdana Menteri dulu adalah kerana mengkritik kepimpinan Perdana Menteri ketika itu.

“Anwar lebih gemar meminta bantuan dari negara luar negara kerana rakyat di negara ini sudah tahu siapa dia yang sebenar.

“Tidak ada sesiapa yang mahu mempercayainya lagi sebagaimana pelbagai janji yang ditaburkan bukan saja sebelum dapat bentuk kerajaan bersama pakatan pembangkang dibeberapa buah negeri tetapi dah ada kuasa pun terus menipu,” katanya lagi.

Ujarnya, jika sebelum mendapat kuasa mereka menjadikan manipulasi dan persepsi sebagai satu taktik bagi memperlihatkan kononnya kerajaan sering melakukan kesilapan tetapi malangnya kelakuan tersebut berterusan biarpun menjadi wakil rakyat dan pemimpin.

“Mereka tidak ada modal untuk tarik perhatian jadi mereka tuduh kerajaan BN khususnya UMNO sebagai parti yang selalu salah tanpa mereka sedar bahawa mereka perlu berdepan dengan kenyataan yang dimahukan oleh rakyat.”

Dalam temu bual dengan ABC Radio semalam, Anwar turut mendakwa pembangkang dinafikan akses kepada media arus perdana.

“Mereka buat macam-macam tuduhan terhadap kerajaan termasuklah PRU kononnya tidak telus sedangkan jika ia benar-benar berlaku adakah pakatan pembangkang akan mendapat peluang untuk beroleh kemenangan di Kedah, Pulau Pinang, Selangor dan Perak pada PRU 2008 lalu?” soalnya.

Tambah beliau lagi, apabila Anwar Ibrahim membuat kenyataan terbuka di luar negara yang kemudiannya disiarkan dalam media bercetak maka tuduhan juga dilemparkan kepada BN/UMNO.

“Macam mana BN/UMNO mahu memanipulasi media asing yang menyiarkan kenyataan Anwar berkaitan sokongannya terhadap Israel di dalam Wall Street Journal (WSJ) sedangkan mereka bukan dikawal oleh BN sebagaimana tuduhan kepada media arus perdana yang kononnya dikongkong dan tidak ada kebebasan bersuara,” bidasnya.

“Sebelum ini pun Anwar pernah mempropagandakan Malaysia sebagai sebuah negara yang negatif dan tidak selamat, dan kemudian mengeji pakaian batik Malaysia ketika berada di Indonesia sedangkan ia tidak sewajarnya dipolitikkan,” tegasnya.

Sebelum itu, anak sulung Anwar yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izza juga pernah memberikan kenyataan palsu ketika temubual dengan akhbar Kompas di Indonesia, 4 Ogos lalu kononnya kapal selam negara, KD Tunku Abdul Rahman, masih tidak boleh menyelam selain mendakwa ia sebagai aset usang dan terpakai.

“Telah terbukti bahawa pakatan pembangkang bukan saja sanggup memburukkan negara sendiri dan melemparkan fitnah semata-mata untuk kepentingan politik tetapi juga gagal menanamkan sikap patriotik dan nasionalisme dalam diri masing-masing.”

Sumber: GPRS-Online
Tags: ,

About author

Curabitur at est vel odio aliquam fermentum in vel tortor. Aliquam eget laoreet metus. Quisque auctor dolor fermentum nisi imperdiet vel placerat purus convallis.

0 Komen

Post a Comment