Koordinator BN Selangor, Datuk Seri Mohd
Zin Mohamed berkata, akhirnya, Kerajaan Negeri mengeluarkan Kertas Putih
berhubung isu Hutang TALAM pada Sidang DUN yang lalu setelah lebih dua tahun
berjanji. Kertas Putih yang dinanti-nantikan oleh semua rakyat Selangor ini
nampaknya indah khabar dari rupa.
Tambahnya, umum mengetahui, apa jua soalan atau penjelasan yang
diajukan kepada Menteri Besar dan Kerajaan Negeri, jawapan yang diberikan
adalah tunggu sehingga Kertas Putih TALAM dikeluarkan. Mereka berjanji kononnya
dalam Kertas Putih tersebut, segala transaksi akan dijelaskan dengan terperinci
dan telus.
“Bagaimanapun, rakyat Selangor tidak akan lupa bahawa sebelum Kertas
Putih dikeluarkan, Kerajaan Negeri dengan gah telah mengupah pihak auditor
bebas bagi melakukan audit terhadap isu ini. Mereka juga mengeluarkan 15 ‘frequently
ask questions” (FAQs) dan turut mengadakan seisi jelajah ke seluruh Selangor
bagi memberi penerangan mengenai isu ini.
Apa yang menghairankan, isi intipati Kertas Putih dengan apa yang
diterangkan oleh barisan exco ketika sesi jelajah adalah perkara yang sama.
Dalam erti kata lain, tiada maklumat yang baru dalam Kertas Putih yang
dikeluarkan. Malahan, sebahagian besar persoalan yang saya tanyakan sebelum ini
masih belum terjawab,” ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.
Umum mengetahui bahawa TALAM mempunyai hutang dengan beberapa anak
syarikat Kerajaan Negeri seperti KHSB, PNSB dan UNISEL. Dinyatakan dalam Kertas
Putih bahawa KHSB, PNSB dan UNISEL maing-masing hanya menerima RM10 dari
urusniaga penyelesaian hutang TALAM ini, namun Kerajaan Negeri berjanji akan
membayar pampasan kepada anak syarikat ini.
Persoalannya, bagaimanakah Kerajaan Negeri menilai pemberian
pampasan kepada KHSB, PNSB dan UNISEL? Bagaimana pula penerimaan oleh pemegang
saham setiap anak syarikat ini? Adakah pemberian ini merupakan satu cara untuk
Kerajaan Negeri menutup kelemahan mereka?
“Kertas Putih juga menyatakan maklumat yang bercampur berhubung
jumlah kutipan hutang yang berjaya dilaksanakan. Tiada maklumat terperinci
berhubung tanah yang dilelong dan gantian tanah yang dijanjikan oleh pihak
TALAM. Sebuah tanah di Lot 14002 dikatakan telah di lelong pada tahun 2010.
Bagaimanapun, TALAM hanya bersetuju untuk menggantikan tanah tersebut pada
surat bertarikh 5 June 2012. Persoalanya, kenapakah berkara ini timbul setelah
dua tahun berlalu sedangkan isu ini bermula sejak 2009 lagi? Adakah Kerajaan
Negeri hanya menimbulkan perkara ini setelah terdesak dengan siri pendedahan
oleh Barisan Nasional?
Hakikatnya, Kertas Putih
ini bolehlah diandaikan sebagai melepaskan batuk di tangga. Ianya
hanyalah bagi menutup isu ini dari terus dibincangkan. Namun begitu, pihak
Barisan Nasional Selangor tetap konsisten dengan apa yang kami dedahkan sebelum
ini malah masih banyak persoalan yang poerlu dijawab oleh Menteri Besar
berhubung kekeliruan yang berlaku dalam penyelesaian hutang TALAM ini,” ujarnya
yang juga Setiausaha UMNO Negeri Selangor.
0 Komen