Muhyiddin mahu perjuangan suci UMNO dipertahan



KUALA LUMPUR - Tan Sri Muhyiddin Yassin mengarahkan jentera Umno mengatur strategi berkesan untuk memenangi hati pengundi dan memastikan perpaduan parti diteguhkan sebagai kunci utama kemenangan Umno dan Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum akan datang.

Berucap merasmikan serentak Persidangan Perwakilan Wanita, Pemuda dan Puteri Umno 2012 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini malam tadi, Timbalan Perdana Menteri mahu tiga sayap Umno itu yang disifatkan barisan hadapan mempertingkat gerak kerja bagi memenangi pilihan raya.

"Bergeraklah ke serata pelosok desa dan kota, harungi lembah, sungai dan denai, dari Kangar hingga ke Semporna, julanglah panji perjuangan, Insya-ALLAH kita akan mengarak obor kemenangan," kata Muhyiddin, yang juga Timbalan Presiden Umno.

Ketika menyampaikan ucapan bertajuk 'Bersama Melakar Kemenangan', beliau mengingatkan pejuang Umno bahawa mereka kini berada di tengah pertarungan politik yang akan menentukan survival parti, masa depan bangsa dan kedudukan negara.

Pengarah Pilihan Raya BN itu menegaskan bahawa apabila memilih Umno sebagai landasan perjuangan, anggota parti perlu sedar ia tidak boleh dilakukan secara sendirian atau untuk diri sendiri.

"Kita memerlukan sokongan dan dukungan rakan-rakan seperjuangan. Bekerjalah dalam semangat kesatuan hati (wahdatul qalb), kesatuan fikiran (wahdatul fikr), kesatuan matlamat (wahdatul hadaf) dan kesatuan amal (wahdatul amal) untuk meneruskan agenda perjuangan parti yang suci," katanya yang tampil berbaju Melayu merah menyala.

Beliau juga mahu pejuang Umno yakin mereka berada di pihak yang benar kerana perjuangan suci yang digalas Umno hingga ke saat ini menyaksikan parti itu terus mempertahankan matlamat mempertahankan Islam, membela nasib bangsa Melayu, memelihara kedaulatan negara dan mensejahterakan rakyat tanpa mengira kaum dan agama.

"Dengan asakan pelbagai dakyah songsang yang merungkai asas-asas agama, yang mencabar maruah bangsa, yang mengancam kedaulatan negara, maka landasan perjuangan suci Umno mesti kita perkukuhkan," katanya di hadapan hampir 3,000 anggota perwakilan yang memenuhi Dewan Merdeka PWTC.

Beliau turut menyeru seluruh warga Umno supaya terus teguh menyokong kepimpinan Perdana Menteri yang juga Presiden Umno Datuk Seri Najib Tun Razak yang sedang menerajui transformasi besar untuk negara.

Tegas beliau, menerusi program transformasi kerajaan, ekonomi dan politik, sentuhan pembaharuan Umno sedang dirasai setiap lapisan masyarakat daripada petani dan nelayan, pemandu teksi, remaja dan mahasiswa sehingga golongan profesional dan penjawat awam.

Dalam ucapannya itu, Muhyiddin turut menarik perhatian perwakilan bahawa Umno, parti keramat Melayu yang ditubuhkan 66 tahun lepas, akan terus mengangkat suara Melayu tanpa melupai agihan keadilan untuk kaum-kaum lain seperti yang dituntut oleh agama.

"Sepanjang 66 tahun Umno memperjuangkan Melayu dan Islam, Umno tidak pernah menganiaya mana-mana kaum. Inilah keadilan dan kesaksamaan Umno.

"Pejuang Umno tidak perlu merasa berdosa dan bersalah berada di atas landasan perjuangan Umno kerana parti berjanji untuk terus membela bangsa Melayu dan rakyat Malaysia seluruhnya," katanya.

Muhyiddin seterusnya melontarkan janji bahawa komitmen itu akan terus dipegang oleh Umno dan Barisan Nasional (BN).

"Saudara dan saudari yang berada di dalam Dewan Merdeka ini, dan yang sedang mengikuti ucapan saya di kaca-kaca televisyen, atau di corong-corong radio di luar sana, pak-pak haji yang baru pulang dari masjid, ibu-ibu yang sedang melayani anak-anak di rumah, pemandu-pemandu teksi yang sedang mencari rezeki di kota, para pekerja yang sedang berbakti kepada negara, para anggota keselamatan yang sedang menjaga keamanan kita, mahasiswa yang sedang mentelaah pelajaran di universiti, pemuda-pemuda yang sedang merenung masa hadapan, inilah komitmen Umno dan Barisan Nasional, inilah janji Umno dan Barisan Nasional," katanya.

Muhyiddin turut menegaskan Umno tidak pernah menggadai prinsip perjuangan Islam, malah sentiasa berusaha untuk memartabat dan meningkatkan syiar Islam.

"Sistem pendidikan Islam kita martabatkan, sistem undang-undang Islam kita pertahankan, sistem ekonomi Islam kita majukan," katanya.

Muhyiddin berkata, dunia hari ini melihat Malaysia sebagai contoh negara Islam yang terbaik dan dengan kedudukan negara yang agak lebih ke hadapan berbanding negara-negara Islam yang lain, Malaysia dapat membantu saudara Islam di seluruh dunia.

"Kita telah membantu saudara kita di Bosnia, di Gaza, di Myanmar dan di mana sahaja mereka memerlukan bantuan kita. Alhamdulillah, berkat kebijaksanaan pimpinan negara kita, Malaysia baru sahaja membantu menyelesaikan konflik Bangsamoro di Filipina. Semua ini adalah hasil perjuangan Umno untuk memartabatkan Islam," katanya.
Tags: ,

About author

Curabitur at est vel odio aliquam fermentum in vel tortor. Aliquam eget laoreet metus. Quisque auctor dolor fermentum nisi imperdiet vel placerat purus convallis.

0 Komen

Post a Comment