Perlukah soalan di atas ditanya kepada DAP? Rasanya tidak perlu, kerana untuk siapa lagi
Bible berbahasa Melayu diedarkan jika bukan untuk mereka-mereka yang bertutur
bahasa Melayu? Dan siapakah penutur
bahasa Melayu jika bukan orang Melayu?
Justeru, mungkin tajuk di atas perlu diubah-suai sedikit dengan
menujukan soalan tersebut kepada PAS dan bukan DAP. Kenapa PAS?
Kerana PAS sering mendabik dada sebagai pejuang Islam dan ingin
mempertahankan Islam. Secara logiknya
pejuang Islam tentulah menentang usaha DAP ini.
Tetapi mungkin ada puak PAS yang bertanya, kenapa tidak ditanya
kepada UMNO, bukankah UMNO juga mendabik dada mempertahankan Islam dan
Melayu? Jawapannya, kerana UMNO bukan
sekutu DAP, dan UMNO tidak pernah berbuat kenyataan berikut:
“Ada banyak buku dalam pasaran, banyak buku Kristian ditulis dalam
Bahasa Malaysia. Dan, jika ada yang
tidak boleh baca dalam Bahasa Malaysia, mereka akan membaca dalam Bahasa
Inggeris, jadi saya tidak melihat sebarang sebab mengapa Kitab Injil harus
ditahan,” katanya.” -- Nasharuddin Mat Isa, 15 Mac 2011 (Malaysian
Insider)
Tajuk laporan Malaysian Insider yang memaparkan kenyataan
Nasharuddin tersebut menjelaskan segala-galanya iaitu “PAS Hormati Injil Bahasa Malaysia”.
Laporan tersebut dibuat oleh Malaysian Insider berdasarkan masalah
kemasukan 35,000 nashkah injil berbahasa Melayu yang diimport dari Indonesia
pada ketika itu. Perkara ini
dibangkitkan oleh Exco Kerajaan Negeri Selangor Elizabeth Wong dengan berkata,
“tindakan Kementerian Dalam Negeri menahan dan merampas lebih 30,000 naskhah di
dua pelabuhan adalah satu “perkembangan tidak menggalakkan sama sekali.” Beliau
menambah bahawa tindakan itu hanya akan memburukkan lagi imej mengenai
Malaysia, yang dilihat sebagai negara moderat, di peringkat antarabangsa.
Seterusnya, Malaysian Insider juga melaporkan bahawa banyak pihak
termasuk rakan-rakan PAS dalam PR menggesa Putrajaya agar membenarkan kitab
Injil Berbahasa Melayu dibawa masuk ke negara ini serta merujuk kepada masalah
yang berlaku di pelabuhan sebagai ‘sifat cetek gagasan 1 Malaysia’. Lim Kit Siang juga turut menyuarakan rasa
‘marah dan kecewa’ terhadap apa yang berlaku.
Injil berbahasa Melayu dari Indonesia itu menjadi kontroversi
apabila menggunakan nama Allah dalam merujuk kepada Tuhan agama Kristian. Akibatnya, kerajaan telah dikritik oleh
pertubuhan Kristian dan dituduh dengan sengaja menahan kitab injil tersebut
dari masuk ke Malaysia sedangkan ia tidak salah berdasarkan undang-undang
negara.
Pembangkang pula, iaitu PAS, DAP dan PKR mengambil kesempatan
membelasah kerajaan atas isu ini atas tuduhan mengambil sikap berat sebelah
dengan melebihkan agama Islam serta tidak bersifat terbuka dalam soal
agama.
Laporan Malaysian Insider, termasuk dengan kenyataan Nasharuddin
tersebut, adalah konsisten dengan pendirian Nik Aziz dalam isu yang sama
sepertimana yang dilaporkan oleh Harakah 21 Januari 2010 iaitu “Kerajaan
Kelantan tiada halangan bagi masyarakat bukan Islam negeri itu menggunakan
kalimah ‘Allah’, baik dalam pertuturan maupun dalam buku-buku agama mereka.”
Dan ini pula petikan kenyataan rasmi Presiden PAS, Hadi Awang di
laman rasmi PAS pada 5 Januari 2010, iaitu: “Setiap warganegara Malaysia wajib
memelihara suasana dan keadaan ini. PAS ingin menjelaskan bahawa berdasarkan
kepada kaedah Islam, penggunaan nama Allah pada asasnya adalah dibenar untuk
digunakan oleh agama samawi seperti Kristian dan Yahudi.”
Penulis memetik kembali laporan-laporan dan kenyataan-kenyataan
ini kerana terdapatnya puak-puak PAS yang cuba menafikan bahawa PAS menyokong
Injil dalam Bahasa Melayu sambil menuduh UMNO sebagai tidak mengambil langkah
sewajarnya untuk mengekangnya.
Sedangkan, hakikatnya pemimpin-pemimpin PAS sendiri yang bukan
sahaja memberi lampu hijau malah menekan kerajaan agar ‘mengambil sikap
terbuka’ mengenainya.
Kini, ‘berkat’ dari perjuangan PAS menyokong DAP agar Injil
berbahasa Melayu dibenarkan, maka hari ini terbitlah lagi 100,000 injil
berbahasa Melayu untuk edaran.
Mungkinkah Nik Aziz akan berkata ‘Alhamdulillah!’ sebagai respon kepada
perkembangan ini?
Seperti yang dikatakan di permulaan artikel ini tadi, tidak perlu
kita soal untuk apa dan kenapa atau kepada siapa Injil ini akan diedarkan oleh
DAP. Kita tahu bahawa tidak lain tidak
bukan, ia adalah antara usaha menggiatkan lagi proses memurtadkan umat Melayu
yang mana merupakan antara agenda utama Kristianisasi DAP. Dengan penggunaan kalimah Allah dalam kitab
injil tersebut maka, agenda ini juga yang nampaknya sedang berjalan seiringan
dengan agenda pluralisme PKR.
Dengan laporan Malaysian Insider dan Harakah di atas, maka kita
juga nampaknya tidak perlu lagi menyoal apakah pendirian PAS mengenai isu
ini.
Sudah begitu jelas, terang lagi bersuluh bahawa PAS pastinya tiada
masalah dengan 100,000 injil berbahasa Melayu untuk membantu penyebaran agama
Kristian sekali gus usaha memurtadkan umat Islam oleh pihak gereja.
Apakah PAS akan menafikan pernah berkata seperti di atas? Jika ya, maka PAS perlu terlebih dahulu
menyaman Harakah dan Malaysia Insider.
Jika tidak, PAS wajar berhenti dari berdolak dalih dan mengaku
sahaja bahawa mereka telah secara sedar atau tidak sedar, sengaja atau tidak
sengaja, bersubahat dalam agenda kafir harbi untuk memurtadkan umat Islam.
0 Komen