Pemuda ingatkan Tsu Koon jangan tuding jari.

Pergerakan Pemuda UMNO hari ini mengingatkan Presiden Gerakan, Tan Sri Koh Tsu Koon supaya berhenti menuding jari dan lebih berani menerima keputusan Pilihan Raya Umum Ke-12. (PRU-12) Pemuda UMNO menyanggah kenyataannya yang menimbulkan polemik mempersoalkan dominasi komponen parti Barisan Nasional (BN).

Ketua Penerangan Pemuda UMNO Malaysia, Dato’ Azimi Daim berkata, tidak timbul soal dominasi sesuatu parti di dalam BN seperti dakwaan dan persepsi negatif Koh, sebaliknya BN sejak dulu memang menjadi gabungan pelbagai komponen parti.

BN adalah gabungan kerjasama pelbagai kaum dan wakil yang ada di dalam BN juga melambangkan komposisi kaum. Setiap parti komponen pula, tegasnya, mestilah memainkan peranan dan menumpukan kepada khidmat juang masing-masing di dalam BN, bukannya menuding jari kepada komponen lain untuk melepaskan diri sendiri daripada dikritik kaum atau ahli sendiri.

Setiap parti komponen perlu serius, fokus dan berkerja lebih kuat serta cekap untuk rakyat, terutama di dalam keadaan politik dan ekonomi dunia terkini yang menuntut semua pihak memberikan sumbangan bermakna kepada kesejahteraan semua.

Maka, tindakan Koh menimbulkan polemik yang mendakwa UMNO mendominasi BN tidak sia-sia dan menjadi publisiti murahan, malah rakyat akan melihat beliau mengarut dan bercelaru fikiran kerana tersentak daripada keputusan PRU-12.

Datuk Mohd Salim Bari, Ketua Pemuda Negeri Pulau Pinang pula mengingatkan Tan Sri Koh agar tidak perlu mencari publisiti dan cuba menarik perhatian dengan kononnya kritis, 'berani' dan lantang terhadap UMNO dan BN. Keputusan PRU-12 memang jelas dan sebagai pemimpin nombor satu Gerakan, beliau mesti lebih 'berani' untuk menerima hakikat itu.

Hentikanlah sikap suka menuding jari, sebaliknya Koh patut kaji sedalam-dalamnya kelemahan dan kekuatan parti, perancangan, strategi, pendekatan dan latar belakang parti komponen masing-masing. Hasil kajian itu pastinya akan dapat digunakan untuk memperkukuhkan Gerakan dan memastikan BN kembali menerajui pemerintahan, khususnya di Pulau Pinang.

Sebagai orang yang pernah memimpin Kerajaan Negeri dan kini menjadi orang nombor satu Gerakan, Koh patut lebih bertanggungjawab dan berpandang lebih jauh untuk membawa parti, ahli dan penyokongnya kepada kemajuan.

Adalah lebih baik dan bijak jika Koh mampu memimpin Gerakan untuk memfokuskan kekuatan dan keberaniannya kepada usaha memulihkan keyakinan rakyat kepada BN, bukan pula berkonfrontasi kepada komponen BN lain.
Tags:

About author

Curabitur at est vel odio aliquam fermentum in vel tortor. Aliquam eget laoreet metus. Quisque auctor dolor fermentum nisi imperdiet vel placerat purus convallis.

0 Komen

Post a Comment