Kenyataan Hishammuddin dari Mekah

Mengenai perkembangan yang sedang berlaku di tanahair, saya mengambil peluang ini untuk mendoakan agar setiap daripada kita yang bertanding di dalam pemilihan parti dapat melalui proses tersebut dalam kerukunan satu keluarga.

Kita di peringkat bahagian telah melalui proses pencalonan dan perkara itu telah berlaku dalam suasana kekeluargaan.

Bagaimanapun apa yang dicadangkan oleh UMNO Bahagian Besut tidak mustahil untuk dilakukan. Apa yang boleh dibincangkan, kita boleh bincang dan apa yang perlu diagih-agihkan tugas selepas Mac kita boleh agihkan sekarang. Saya yakin terdapat banyak tugas dan tuntutan yang perlu dipikul oleh kita secara bersama dan perkara itu perlu dilakukan demi masa depan.

Perkara ini tidak mustahil. Ini adalah cara UMNO dan pertimbangan yang perlu diambilkira dalam menentukan kepimpinan bukan sahaja setakat mengambil kira parti UMNO atau bukan setakat Barisan Nasional sahaja tetapi perkara ini keseluruhannya perlu direnung dan difikirkan secara lebih mendalam demi agama, bangsa dan tanahair.

Mengenai kenyataan yang dibuat oleh Pengerusi Lembaga Disiplin UMNO Tan Sri Tengku Ahmad Rithaudeen Tengku Ismail, saya ingin menyatakan bahawa saya cukup menghormati beliau selaku seorang tokoh yang berpengalaman.

Bagaimanapun dengan penuh rendah diri saya berpendapat bahawa cadangan tersebut tidak sesuai untuk diterima dan tidak munasabah untuk dilaksanakan.

Jika perkara seumpama itu berlaku, ia menggambarkan seolah-olah kita sedang berhadapan dengan tekanan yang berat.

Saya suka untuk mengingatkan bahawa kita ahli-ahli parti mewarisi sayap ini daripada generasi sebelum kita. Pelbagai peranan telah dimainkan secara berkesan selama ini oleh sayap-sayap parti dan kita telah melihat perkembangan struktur organisasi kita berlaku dengan baik.

Tan Sri Tengku Ahmad Rithaudeen mungkin mempunyai pandangan dan hujah tersendiri berhubung hal ini, bagaimanapun untuk menangani isu-isu tertentu sememangnya tiada jalan singkat. Banyak perkara perlu dibuat dan diusahakan secara bersama oleh kita semua. Perkara ini boleh kita lakukan selepas UMNO putuskan barisan kepimpinan kita selepas bulan Mac ini.
Tags:

About author

Curabitur at est vel odio aliquam fermentum in vel tortor. Aliquam eget laoreet metus. Quisque auctor dolor fermentum nisi imperdiet vel placerat purus convallis.

0 Komen

Post a Comment