'JANGAN PERBESARKAN SOAL EKUITI: CARI JALAN PERBAIKI SISTEM PENGANGKUTAN AWAM'

Biro Ekonomi Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia ingin menyatakan pendirian mengenai cadangan pemansuhan ekuiti 30 % Bumiputera di dalam sektor pengangkutan, yang dibuat oleh Menteri Pengangkutan semalam. Biro Ekonomi Pemuda UMNO menyifatkan kenyataan tersebut adalah tidak wajar dan menganggap ianya suatu pandangan peribadi yang dilontarkan di dalam majlis 'parti politik' dan tidak merupakan pendirian rasmi Kementerian.

Namun begitu, sesuatu yang sangat 'dasar' dan fundamental seperti itu - sewajarnyalah dinyatakan di dalam ruang dan platform yang tepat. Biro Ekonomi Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia - menyifatkan serangan berterusan terhadap 'milikan ekuiti sebagai asas hambatan persaingan global' adalah sesuatu yang tidak terlalu tepat dan benar.

Punca kepada masalah ini adalah soal 'persepsi'. Ekuiti terlalu digambarkan sebagai 'bantuan', dan bukannya bersifat 'kerjasama keusahawanan tulin'. Ong Tee Keat dan pemimpin yang gemar memainkan isu ekuiti ini, perlu sedar - bahawa orang Melayu mahu memiliki ekuiti sebagai 'rakan kerjasama tulin', dan bukannya 'sleeping-partner' lagi. Justeru, jika wujud kerjasama yang niat dan asasnya tulin - persoalan samada ianya akan menjadi hambatan kepada persaingan global, adalah tidak benar sama sekali.

Biro Ekonomi juga berpandangan - isu ekuiti tidak perlu diperbesarkan. Fokus dan perhatian seorang Menteri seperti Ong Tee Keat adalah memastikan 'delivery' kepada sistem pengangkutan itu dapat diperbaiki. Masyarakat, pada norma asasnya, tidak melihat kepada ekuiti sebagai faktor utama - sebaliknya mendahulukan kecekapan sistem penyampaian.

Fokus dan perhatian Menteri Pengangkutan wajar lebih tertumpu kepada soal kecekapan sistem pengangkutan secara keseluruhannya. Mencari jalan keluar tentang bagaimana membentuk sistem pengangkutan yang terbaik untuk Negara. Ini termasuk soal membentuk 'sinergi' kepada pengangkutan awam, khususnya di bandar-bandar besar seperti Kuala Lumpur, Johor Bharu dan Pulau Pinang.

Menteri Pengangkutan sewajarnyalah lebih kerap merasai penderitaan rakyat yang terpaksa bersesak-sesak setiap pagi dan petang; semata-mata untuk berulang-alik ke tempat kerja. Persoalan yang ada dalam minda rakyat - bukan ekuiti; tetapi bila dan bagaimana seorang Menteri Pengangkutan dapat membantu mereka menyelesaikan masalah ini.

Kenyataan bersifat 'politikal' dan menjurus ke arah menepati hasrat 'usahawan, pelobi dan peniaga' seperti ini adalah tidak dialu-alukan langsung. Sudah tiba masanya, kita melihat kepada isu secara total dan tidak gemar mengambil jalan pintas untuk memuaskan hati sebahagian kecil yang mempunyai kepentingan peribadi yang sempit.
Tags:

About author

Curabitur at est vel odio aliquam fermentum in vel tortor. Aliquam eget laoreet metus. Quisque auctor dolor fermentum nisi imperdiet vel placerat purus convallis.

0 Komen

Post a Comment