DENGGI- Kementerian Kesihatan Perlu Lebih Proaktif: Subahan Kamal

Biro Pengaduan Awam dan Pembelaan Masyarakat Pergerakan Pemuda UMNO mendesak kerajaan mengambil tindakan serius dalam menangani gejala wabak denggi yang kini cukup membimbangkan ekoran peningkatan kematian khususnya di daerah Gombak.

Pengerusinya, Datuk Subahan Kamal berkata tujuh kematian yang dicatat sepanjang bulan lalu adalah satu angka yang amat merisaukan dan perlu diberikan tumpuan yang cukup serius.

Beliau turut mempertaikan tindakan pihak Kementerian Kesihatan yang dilihat tidak begitu pro aktif dalam menangani gejala wabak tersebut sungguhpun pada waktu ini kes demam denggi meningkat dari masa ke semasa.

"Kita cukup kecewa melihat tindakan kementerian yang terlibat dalam usaha menangani wabak denggi ini. Tujuh kematian yang dicatatkan sejak awal bulan ini berbanding enam sepanang tahun lalu memperlihatkan kes ini sememangnya cukup serius. Apa yang kita nampak, mereka hanya bertindak membuat semburan di kawasan sekitar perumahan atau kampung apabila salah seorang penduduk menghidap demam denggi. Kemudian sepi begitu sahaja", katanya pada sidang media di pejabatnya.

Serentak itu, beliau yang juga ADUN Taman Templer melontarkan beberapa cadangan termasuk meminta pihak kementerian berterus terang dengan penduduk setempat tahap keseriusan wabak berkenaan.

Katanya tahap keserisaun wabak berkenaan perlu didedahkan kepada umum agar mereka mengambil langah proaktif membersihkan kawasan sekitar atau mengambil tindakan lain dalam usaha mengelakkan wabak berkenaan.

"Selain itu, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) perlu bertindak dengan lebih agrsif membersihkan kawasan sekitar bagi pembiakan nyamuk aedes. Apa yang kita lihat hari ini, kawasan sekitar seolah-olah tidak terjaga dan inilah yang menyedihkan kita. Saya secara peribadi telah mengatur pertemuan dengan pihak Majlis Perbandaran Selayang (MPS) bagi mencari jalan penyelesaian. Namun sehingga hari ini, tidak ada tindak balas yang serius daripada Yang Dipertua MPS", ujarnya.

Kata beliau lagi, MPS perlu mengurangkan politiking di dalam pentadbiran mereka dengan mengutamakan kepentingan rakyat. Pada sidang media yang sama, beliau turut menggesa Kementerian Kesihatan mencari satu mekanisme baru berhubung rawatan warganegara asing di negara ini.

Ini kerana katanya menerusi lawatan beliau ke Hospital Selayang baru-baru ini ramai rakyat tempatan tidak mendapat perkhidmatan sewajarnya di hospital berkenaan.

"Ini juga berkaitan dengan kes denggi. Ketika lawatan dibuat kita lihat ramai pesakit cuba mendapatkan rawatan namun dalam kes demam denggi yang serius hanya terdapat 16 katil sahaja di Unit Rawatan Rapi (ICU) di hospital berkenaan. Sudahlah katilnya terhad, katil itu pula kebanyakannya dipenuhi warga asing. Apabila ini berlaku rakyat tempatan yang ingin mendapat rawatan rapi diarah pulang", ujarnya.

Keadaan ini tegas beliau lagi cukup mengecewakan seolah-olah hak rakyat di negara ini dinafikan.

"Kita bukannya menafikan hak warga asing ini untuk mendapat rawatan sepatutnya. Namun sepertimana yang berlaku di Hospital Selayang ianya amat memeranjatkan kerana wagrganegara kita tidak mendapat tempat yang sepatutnya di ICU hospital terbabit ekoran masalah kekurangan katil. Sebab itulah kita minta pihak kementerian mencari kaedah baru dalam soal ini agar warganegara kita mendapat hak yang sepatutnya", kata beliau.
Tags:

About author

Curabitur at est vel odio aliquam fermentum in vel tortor. Aliquam eget laoreet metus. Quisque auctor dolor fermentum nisi imperdiet vel placerat purus convallis.

0 Komen

Post a Comment