Jentera Pemuda BN digesa beri perhatian penuh kepada kempen pilihan raya kecil pada 7 April ini, dan jangan mengalihkan tumpuan kepada lain-lain perkara berkaitan parti.Naib Ketua Pemuda UMNO, Datuk Razali Ibrahim berkata pucuk pimpinan juga diminta supaya tidak memanjangkan isu-isu berkaitan politik wang, sebaliknya ia perlu diserahkan kepada pihak bertanggungjawab untuk disiasat.
"Saya tidak mahu seorang pun jentera Pemuda BN berbual mengenai urusan parti Umno dalam tempoh BN berhadapan dengan pilihan raya kecil ini kerana saya tidak nampak apa untungnya. Saya harap pihak pucuk pimpinan pun tidak perlulah nak panjangkan. Kalau ada laporan dibuat, buatlah siasatan," katanya kepada pemberita di Bilik Gerakan Induk Pemuda BN.
Anggota Lembaga Disiplin UMNO, Tan Sri Megat Najmuddin Megat Khas hari ini berkata beberapa pemegang jawatan tinggi UMNO kini disiasat ekoran aduan berlaku amalan politik wang dua tiga hari menjelang perhimpunan agung parti minggu lepas.
Megat Najmuddin berkata demikian selepas membentangkan kertas kerja pada Sidang Kemuncak Anti Rasuah "Tiada Tolak Ansur Bagi Rasuah" anjuran Institut Strategi dan Kepimpinan Asia (ASLI) dan Transparency International Malaysia.

0 Komen
Post a Comment