Jadikan Sejarah Subjek Wajib Lulus Tepat, Sejajar Arus Kemajuan Negara- GAGASAN

Gagasan Pendidikan Melayu Malaysia (Gagasan) menyifatkan keputusan kerajaan menjadikan mata pelajaran Sejarah sebagai subjek teras dan wajib lulus adalah bertepatan dengan arus kemajuan negara.

Presidennya Datuk Hasan Malik berkata, di sebalik kemajuan yang dikecapi, pemahaman masyarakat mengenai sejarah lampau adalah penting agar kejayaan tersebut tidak boleh disanggah dan dipermainkan mana-mana pihak.

"Sejarah adalah asas kepada pembentukan keperibadian seseorang individu dan juga negara. Sejauh dan sedalam mana kita mengenali asal usul kita, sejarah kita, maka sejauh itulah kita mengenali siapa kita dan yang paling penting kita juga akan lebih mengenali dan memahami hak orang lain.

"Soal Perlembagaan, kontrak sosial yang telah terpatri sekian lama kini dipersoalkan...jadi Gagasan mahu terkehadapan dalam soal ini dan sama-sama memperjuangkan agar mata pelajaran Sejarah dapat dipastikan menjadi subjek wajib lulus demi kesinambungan survival masyarakat di masa depan," katanya ketika berucap pada majlis pelancaran penubuhan dan mesyuarat agung kali pertama pertubuhan itu di Auditorium Taman Teknologi Malaysia, Bukit Jalil di sini, hari ini.

Majlis pelancaran yang disempurnakan oleh Setiausaha politik kepada Perdana Menteri, Datuk Shahlan Ismail itu turut dihadiri Timbalan Pengerusi Gagasan Datuk Seri Panglima Lajim Ukim dan Setiausaha Agungnya Syed Anuar Syed Mohamad.

Keputusan menjadikan mata pelajaran Sejarah sebagai mata pelajaran wajib lulus dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sama seperti syarat lulus subjek bahasa Malaysia bagi memperoleh SPM yang akan dilaksana pada tahun 2013 telah diumumkan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Menteri Pelajaran semasa menggulung perbahasan dalam perhimpunan agung UMNO baru-baru ini.

Hasan berkata, justeru itu semua masyarakat termasuk badan-badan bukan kerajaan lain perlu berganding bahu mempertahankan benteng kuasa yang diasak bertalu-talu oleh petualang bangsa yang hanya timbul dan berjuang atas agenda peribadi sehingga sanggup membelakangkan sejarah yang telah banyak membawa kejayaan kepada pembangunan negara.

"Jika tidak mahu mengenali sejarah sendiri pun yang kononnya perjuangan memperkasakan subjek Sejarah ini bermotif politik...lihatlah Amerika Syarikat dengan George Washington yang diangkat sebagai wira mereka pada tahun 1776, China dengan Mao Zedong dan India dengan Mahatma Ghandi.

"Jangan pula nanti generasi negara maju kita menjelang 2020 nanti tidak mengenali siapa Tunku Abdul Rahman, siapa Tun Abdul Razak...maka kita perlu jadikan ia perjuangan bersama dan Gagasan secara tegas menyokong penuh hasrat baik ini dan ia tak sepatutnya dipolitikkan," katanya.

Penubuhan Gagasan tercetus kira-kira empat bulan lalu apabila kerajaan meluluskan Akta Pertubuhan Belia dan Pembangunan Belia 2007 yang mana menyebabkan mereka yang terlibat dalam pertubuhan belia khasnya pertubuhan yang berorientasikan pendidikan seperti Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) yang berumur 40 tahun ke atas terpaksa melepaskan jawatan.

Menurut Hasan, penubuhan Gagasan bukan untuk mengambil peranan atau menggugat peranan GPMS sebaliknya lebih kepada pelengkap kepada organisasi seumpamanya untuk sama-sama memperjuangkan isu pendidikan.

"Gagasan ditubuh bagi menjadi platform kepada mereka yang telah melebihi umur 40 tahun untuk berorganisasi dan bukannya pesaing kepada NGO lain. Gagasan juga bertujuan untuk melihat, memerhati dan memantau mengenai soal-soal pendidikan anak-anak Melayu," katanya.

Sementara itu, dalam ucapannya, Shahlan turut meluahkan rasa kagum atas penubuhan Gagasan kerana berpendapat kerja-kerja sukarela sebegitu hanya mampu dilakukan oleh mereka yang mempunyai komitmen yang kuat serta komited dalam membela bangsa.

Beliau berkata, soal pendidikan dan memperjuangkannya bukanlah sesuatu yang mudah kerana apabila cuai walau sedetik mengenainya ia boleh merosakkan satu generasi bangsa.

"Bagi saya hal-hal begini lebih kepada bersifat sukarela. Sukarela mudah disebut tetapi untuk melaksanakannya adalah suatu yang susah kecuali adanya komitmen yang kuat. Maka oleh kerana itu saya sangat kagum dengan usaha Gagasan untuk menubuhkan pergerakan ini yang mana hala tuju dan objektifnya sangat jelas iaitu memartabatkan pendidikan demi untuk bangsa Melayu," katanya.

Sehubungan itu, Shahlan turut mencadangkan supaya Gagasan meningkatkan usaha menghasilkan tulisan-tulisan ilmiah yang bermutu bermula di peringkat paling rendah ke peringkat tertinggi kerana dengan penguasaan ilmu sesuatu bangsa itu akan lebih dikenali dan dihormati.

Tags:

About author

Curabitur at est vel odio aliquam fermentum in vel tortor. Aliquam eget laoreet metus. Quisque auctor dolor fermentum nisi imperdiet vel placerat purus convallis.

0 Komen

Post a Comment