Kerajaan Selangor pimpinan Parti Keadilan Rakyat seharusnya menumpukan kepada soal pentadbiran negeri dan tidak terlalu banyak bermain politik bagi mengelak keadaan kucar-kacir di negeri itu, kata Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Shafie Apdal.
“Saya ingat cukuplah. Tadbirlah negeri Selangor ini dengan baik dan jangan banyak sangat berpolitik. Apa yang penting tunaikan janji-janji yang ada. Yang janji pun tak tunai lagi,” katanya kepada pemberita selepas mesyuarat Permuafakatan Badan Ilmiah Nasional (Pembina) di sini hari ini.
Shafie, yang juga Naib Presiden Umno, diminta mengulas kegagalan kerajaan Selangor pada satu sidang khas Dewan Undangan Negeri itu semalam untuk meminda Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri bertujuan untuk mengembalikan kuasa untuk pelantikan tiga pegawai tertinggi kerajaan negeri iaitu Setiausaha Kerajaan Negeri, Pegawai Kewangan Negeri dan Penasihat Undang-undang kepada Sultan dan Menteri Besar.
Ia berikutan pelantikan Datuk Mohd Khusrin Munawi sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Awam yang dibantah oleh kerajaan negeri dengan alasan ia tidak dirujuk kepada Menteri Besar.
Shafie berkata sidang khas itu juga tidak seharusnya diadakan kerana kerajaan Selangor tahu bahawa majoriti dua pertiga tidak akan dapat diperoleh untuk membolehkan pindaan itu diluluskan.
0 Komen