
Gagasan Pendidikan Melayu Malaysa (GAGASAN) memberikan amaran kepada pihak tertentu agar jangan cuba mengeksploitasi situasi di Mesir, Libya dan Oman untuk meraih sokongan rakyat khasnya semasa pilihanraya kecil DUN Kerdau, Pahang dan Merlimau, Melaka.
Setiausaha Agung GAGASAN, Syed Anuar Syed Mohamed berkata, GAGASAN menyokong dan berdiri teguh di belakang kepimpinan negara di dalam memastikan keamanan negara terus terjamin dan kekal harmoni.
“Gagasan berpendapat apa yang berlaku di timur tengah amat jauh berbeza dengan situasi di Malaysia kerana sejak kemerdekaan 1957, amalan demokrasi hidup subur sehingga hari ini, apatah lagi kerajaan masakini terus mengamalkan tradisi membela rakyat yang memperlihatkan rakyat diutamakan di dalam setiap keputusan yang telah, sedang dan akan laksanakan.
Kerajaan juga dilihat amat bertolak-ansur dan menghormati prinsip-prinsip demokrasi yang jelas dibuktikan dengan penguasaan pembangkang di beberapa buah negeri melalui pilihanraya umum -12 dan terdapat pemimpin pembangkang yang memburuk-burukkan kepimpinan negara di luar negara tanpa sekatan walaupun sedang berhadapan dengan pembicaraan mahkamah, “ ujarnya mengulas pendedahan akhbar mengenai perancangan pihak-pihak tertentu yang mahu mengukar-kacirkan keamanan di Malaysia.
Sehubungan dengan itu, Gagasan mencadangkan kepada pihak berkenaan agar menggunakan saluran pilihanraya jika tidak bersetuju dengan kepimpinan negara dan jangan cuba menghasut rakyat memusnahkan apa yang dibina sejak 54 tahun lepas untuk mencapai kepentingan ideologi sempit mereka kerana ia tidak akan menguntungkan sesiapa.
“Gagasan juga mencadangkan pihak Kementerian Dalam Negeri menggunakan akta hasutan dan ISA bagi membendung provokasi seumpama bagi memastikan keselamatan negara terus terjamin,” tambahnya lagi .

0 Komen
Post a Comment