TEMERLOH 4 Mac – Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi memberi amaran keras kepada pemimpin-pemimpin pembangkang supaya jangan sekali-kali cuba ‘ membakar’ negara dengan meniru budaya kebangkitan masyarakat di Timur Tengah .
Zahid mengingatkan, cubaan “membakar’ negara dengan menghidupkan budaya berdemonstrasi dan merusuh hanya akan membawa musibah dan padah buruk, yang akhirnya menyebabkan rakyat menderita.
Tingkah laku pembangkang, tegas Zahid yang juga Menteri Pertahanan, boleh ‘membakar tanahair bumi tercinta ini.
“Saya ingatkan pembangkang… Jangan bermain api. Permainan mereka ini amat bahaya. Mereka bukan sahaja ‘bakar’ orang lain, tetapi ‘membakar’ diri sendiri. Tidak ada pihak yang akhirnya mendapat keuntungan. Semuanya akan hancur.
“Saya ingatkan pembangkang… Jangan bermain api. Permainan mereka ini amat bahaya. Mereka bukan sahaja ‘bakar’ orang lain, tetapi ‘membakar’ diri sendiri. Tidak ada pihak yang akhirnya mendapat keuntungan. Semuanya akan hancur.”
“Saya nasihatkan dan rayu kepada rakyat Malaysia supaya berfikiran rasional. Jangan terpedaya. Jangan termakan hasutan dan terikut-ikut budaya songsang pembangkang untuk ‘membakar negara’. Ingatlah ini semua akan meruntuhkan, merosakkan dan menghancurkan semua yang ada dalam negara ini,” katanya .
Beliau berkata demikian dalam wawancara eksklusif bersama UMNO-Online di Pusat Operasi Barisan Nasional, Pekan Kerdau.
“Rakyat jangan terpedaya. Rakyat harus sedar pada 2004 apabila Barisan Nasional berada di tahap sokongan yang tinggi, maka mereka terjebak dengan situasi itu. Oleh itu, mereka ambil pendekatan pada pilihan raya umum 2008 dengan mengadakan demonstrasi jalanan.
“Mereka terinspirasi dengan situasi yang ada di Timur Tengah, kononnya mereka ingin membuat perubahan pemerintahan negara ini dengan menjadikan apa yang berlaku itu Timur Tengah boleh diterjemah dan dipindahkan untuk dilakukan di Malaysia,” katanya.
Beliau mengingatkan rakyat supaya tidak terpengaruh dengan apa yang cuba dilakukan oleh pembangkang kerana suasana politik dan keadaan serta kehidupan di negara ini berbeza dengan negara terbabit.
“Apakah kita mahu kesejahteraan yang dinikmati selama ini hilang dan sanggup menghadapi keperitan serta kesengsaraan seperti yang dilalui penduduk negara di sana (Timur Tengah).
“Kita tidak mahu mereka terus menghasut rakyat membuat demontrasi jalanan dan kekacauan dengan menuduh kerajaan menjalankan amalan autokratik. Ini (demonstrasi) dikhuatiri boleh menggugat ketenteraman awam dan amalan demokrasi negara,” katanya.
Jelasnya, sebagai sebuah negara demokrasi tentunya rakyat boleh suarakan rasa tidak puas hati melalui pilihan raya dan bukannya meniru seperti apa yang berlaku di negara lain.
“Kalau kerajaan dituduh tidak demokratik dan menjalankan autokratik tentulah kita tidak kehilangan lima negeri ketika pilihan raya umum lepas, kalah lapan dan menang enam dalam pilihan raya kecil yang diadakan. Kita menjalankan pilihan raya mengikut amalan demokrasi.
“Kita jangan sanggup untuk ‘membakar negara’ kita sendiri hanya kerana terpengaruh dengan segelintir manusia yang sememangnya tidak pernah merasa puas hati dengan apa yang telah dilakukan oleh kerajaan Barisan Nasional selama ini,” katanya.
Menurutnya, apa yang berlaku di Timur Tengah harus dijadikan tauladan, bukannya untuk dibudayakan di negara ini kerana situasi di negara ini dan tempat berkenaan adalah jauh berbeza. – MediaUMNO.

0 Komen
Post a Comment