
Pandangan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim kononnya Setiausaha Kerajaan (SUK) negeri tidak semestinya orang Melayu khususnya untuk Selangor yang didiami penduduk pelbagai etnik dan bertaraf antarabangsa merupakan satu kenyataan dan pendapat Khalid sebagai jawapan berbentuk politik, dan bertujuan meraih sokongan dan undi orang bukan Melayu khususnya di Selangor ini.
Presiden Kesatuan Pelajar-Pelajar Melayu Selangor (KPPMS), Datuk Mat Yassir Ikhsan berkata, Khalid ini dulu merupakan seorang pemimpin yang berwibawa namun kini, dia menjadi seorang yang tidak peka pada sensitiviti orang Melayu semata-mata untuk mendapatkan populariti dan undi bukan Melayu kepada kerajaan negeri pimpinan Parti Keadilan Rakyat (PKR).
”Kenyataan terkini Khalid ini merupakan kesinambungan kepada kenyataan dia sebelum ini yang mengemukakan cadangan supaya kuota pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) dibuka kepada bukan bumiputera pada Ogos 2008, selepas beberapa bulan mereka memerintah Selangor.
Kita berasa sedih kerana ada seorang pemimpin Melayu yang hebat satu ketika dulu boleh mengeluarkan kenyataan-kenyataan sebegini dan kita faham sebagai MB, dia boleh mengeluarkan apa sahaja kenyataan tetapi dalam masa yang sama, dia hendaklah menjaga sensitiviti orang Melayu dalam banyak hal,” ujarnya yang juga Pengerusi Majlis Gabungan Pertubuhan Sukarela Selangor (GPSS).
Mat Yassir menegaskan, kenyataan Abdul Khalid itu hanya satu politik murahan yang sanggup menggadai perkara yang diwujudkan untuk memelihara kedudukan dan kepentingan Melayu serta bumiputera.
Ia jelas bercanggah dengan dengan Perkara 52, Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Selangor yang dipinda pada tahun 1993. Perkara itu jelas menyebut perlantikan eksekutif di Selangor bagi mengisi jawatan SUK hendaklah seseorang yang berbangsa Melayu dan beragama Islam serta menjadi pegawai utama yang bertanggungjawab bagi hal ehwal pentadbiran negeri.
”Beliau juga sebagai bekas seorang ahli Korporat Melayu yang berjaya, seharusnya menjadi hero kepada perjuangan menaikkan taraf ekonomi orang Melayu, seterusnya meningkat ekuiti 30% orang Melayu khususnya di negeri Selangor ini beliau beliau juga merupakan anak bangsa yang telah mendapat nikmat kemakmuran hasil perjuangan UMNO selama ini.
Sehubungan dengan itu, saya ingin menasihati Tan Sri Khalid untuk muhasabah diri, dan jangan gadaikan maruah dan martabat bangsa dan agama kita semata-mata untuk mengekalkan kuasa politik dengan meraih sokongan bangsa bukan Melayu,” tambahnya lagi.
Sementara itu, Ketua Wira Perkasa, Armand Azha Hanafiah berkata, kenyataan ini satu lagi contoh tindakan menggadaikan maruah dan martabat Melayu Islam kerana keputusan popular untuk mendapatkan undi sokongan dari kaum-kaum bukan melayu.
”Bila saya desak isu ini nanti saya dikatakan berat sebelah dan sebagainya, tetapi persoalannya, adakah kita harus terus mendiamkan diri atau bangun mempertahankan hak kita yang semakin tercabar di masa hadapan kerana permainan politik golongan-golongan yang menggelarkan diri mereka sebagai Melayu Liberal ini,” ujarnya ketika dihubungi bagi mengulas isu tersebut.
Dalam isu ini, beliau memberi jaminan bahawa Perkasa akan terus melindungi hak-hak orang Melayu dan bumiputera seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan tidak sesekali tunduk kepada desakan populis itu.

0 Komen
Post a Comment