NGO Melayu Minta Polis Dedah Identiti Pelaku Dalam Video Seks


KUALA LUMPUR, 1 April – Pihak polis yang sudah mengesahkan ketulenan sebuah rakaman video perlakuan seksual yang dikaitkan dengan seorang pemimpin pembangkang perlu berterus-terang dan mendedahkan identiti orang terlibat.

Presiden Pertubuhan Pemikir Profesional Melayu Malaysia (PPPMM) Datuk Dr Kamarudin Kachar berkata Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar telah mengesahkan ketulenan video tersebut menerusi siasatan pakar-pakar namun enggan mendedahkan identiti pelaku dalam video itu.

“Persoalan siapakah pemilik identiti lelaki yang dalam video berkenaan hanya boleh dirungkai oleh pihak polis memandangkan polis terlibat dalam siasatan pita video tersebut dari A hingga Z.

“Kita sebagai orang awam meminta supaya pihak polis berbuat demikian bagi mengakhiri segala kekalutan yang berlaku akibat terlalu banyak sangat spekulasi yang timbul disebabkan orang masih berteka-teki siapa sebenarnya lelaki berkenaan,” katanya menurut Bernama.

Beliau mengulas mengenai pengumuman Ismail hari ini bahawa rakaman video seks, yang didedahkan oleh “Datuk T” kepada sekumpulan editor media awal minggu lalu, bukan sesuatu yang direka atau dipalsukan.

Menjawab mengenai terdapat cadangan bagi meminta isteri pemimpin pembangkang yang dituduh melakukan seks dalam video tersebut supaya menonton rakaman itu, bagi mengesahkan sama ada benar suaminya atau pun tidak, beraksi dalam adegan tersebut, Kamarudin berkata perkara itu tertakluk kepada arahan polis.

“Kita serahkan kepada pihak polis, biarlah mereka yang menjalankan kerja mereka sama ada mahu meminta beliau untuk tonton atau tidak,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Umum Badan Bertindak Perpaduan Melayu, Osman Abu Bakar yang turut menyokong supaya polis mendedahkan identiti pelaku dalam video itu dan mahu pemimpin terbabit meletakkan jawatan sekiranya apa yang dituduh terbukti benar.

Tags:

About author

Curabitur at est vel odio aliquam fermentum in vel tortor. Aliquam eget laoreet metus. Quisque auctor dolor fermentum nisi imperdiet vel placerat purus convallis.

0 Komen

Post a Comment