
Tindakan itu dibuat setelah ADUN Sungai Burong, Datuk Mohd.
Shamsudin Lias mendedahkan bahawa Datuk Teng Chang Khim menghantar satu khidmat
pesanan ringkas (SMS) kepada seluruh Exco kerajaan negeri yang diterimanya pada
pagi ini.
Difahamkan, SMS berkenaan dihantar Chang Khim kepada bekas Exco
kerajaan negeri sebelum sampai pada pengetahuan ADUN-ADUN BN.
Bercakap kepada pemberita di luar dewan kira-kira pukul 11.45 pagi
ini, Mohd. Shamsudin menyatakan dalam SMS tersebut, Chang Khim meminta agar
semua Exco menggunakan peluang sepenuhnya sesi perbahasan pada sidang DUN untuk
menyatakan kejayaan kerajaan negeri dalam mentadbir Selangor dalam tempoh empat
tahun ini.
Jelas Shamsudin, tindakan Speaker itu dilihat tidak wajar kerana
dalam mengendalikan sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) beliau sepatutnya
bersikap bebas dan tidak memihak pada mana-mana parti termasuklah daripada
kerajaan negeri mahu pun pembangkang.
"Berdasarkan SMS itu, kita dapati Speaker tidak bebas, tidak
adil dan sentiasa memantau tindakan Exco kerajaan negeri. Jika sikap ini yang
diamalkan, bagaimana Speaker boleh mengendalikan sidang DUN yang dilihat berat
sebelah," katanya di sini.
Sementara itu, ADUN Kuang, Abdul Shukor Idrus turut menyifatkan
tindakan Chang Khim itu tidak pernah berlaku dalam mana-mana sidang DUN
Selangor sebelum ini.
Jelasnya, Speaker tidak boleh hantar SMS sedemikian kecuali
Menteri Besar sekiranya mahu meminta semua Exco membahas tentang kejayaan
kerajaan negeri pimpinan Parti Keadilan Rakyat (PKR) mentadbir Selangor hampir
empat tahun.
Dalam pada itu, Chang Khim ketika ditemui pemberita menafikan
beliau berat sebelah apabila menhantar SMS berkenaan kepada semua Exco.
Sebaliknya, beliau memberikan alasan bahawa tindakannya menghantar
SMS berkenaan kepada semua Exco adalah untuk memberi peringatan agar
menggunakan peluang membahaskan sesuatu isu seperti mana yang dilakukan oleh
Exco Permodenan Pertanian, Pengurusan Sumber Alam dan Pembangunan Usahawan
negeri, Yaakob Sapari.
Malah jelas Chang Khim, semua ADUN BN boleh membawa usul terhadap
beliau jika didapati menyalahgunakan kuasanya sebagai seorang Speaker.
0 Komen