Enggan akui bantuan Kerajaan Pusat, Exco tuduh wakil rakyat BN sering tidak hadir dewan


Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor hari ini telah membangkitkan rasa tidak puas hati Datuk Subahan Kamal (BN-Taman Templer) ekoran dituduh sering tidak menghadiri sidang berkenaan termasuk tidak mengambil bahagian dalam perbahasan.

Tuduhan itu dibuat oleh Teresa Kok (DAP-Kinrara) ketika menjawab celahan Subahan bertanyakan pertambahan pelaburan di negeri ini adalah hasil daripada bantuan Kerajaan Pusat, iklim ekonomi, lokasi serta kemudahan infrastruktur sedia ada.

Bagaimanapun, Teresa ketika membahaskan titah ucapan Sultan Selangor, mengakui faktor berkenaan mempengaruhi perkembangan pelaburan di negeri ini tetapi menolak faktor bantuan Kerajaan Pusat sebanyak RM2.71 bilion menyumbang kepada situasi berkenaan di Selangor. 

Malah, Teresa kemudiannya mengeluarkan kenyataan bahawa beliau sudah lama tidak bertemu Subahan di dalam sidang DUN kerana mengatakan wakil rakyat itu kononnya sering tidak hadir dan menyertai perbahasan di dalam dewan.

Ekoran tuduhan itu , Subahan kemudiannya bangkit dan mendesak Teresa menarik balik tuduhannya itu mengikut Perkara 36(6) Peraturan-peraturan Tetap Dewan atas dakwaan cuba mencetuskan sangkaan jahat kepadanya.

"Tidak benar Yang Berhormat (Teresa) mengatakan saya tidak hadir dewan. Saya hadir tiap-tiap hari tetapi tidak diberikan peluang untuk membuat perbahasan.... Saya minta tarik balik tuduhan itu dan saya cabar Teresa buktikan saya tidak hadir.

"Tuduhan ini satu sangkaan jahat, saya hadir dalam dewan, main peranan saya. Sila tunjuk sikap profesionalisme dan tarik balik tuduhan ini," katanya ketika sidang DUN di sini hari ini.

Sementara itu, Teresa kemudiaannya mengubah tuduhannya terhadap Subahan yang menyatakan beliau tidak menuduh wakil rakyat Taman Templer itu tidak hadiri sidang DUN sebaliknya hanya mengatakan Subahan tidak mengambil bahagian dalam perbahasan.

Ekoran itu, Subahan kemudiannya bangkit lagi dan meminta Timbalan Speaker, Haniza Mohamed Talha memaksa Teresa menarik balik tuduhannya itu.

Bagaimanapun, permintaan itu enggan dipenuhi Haniza yang kemudiannya meminta Teresa yang juga Exco Pelaburan, Perindustrian dan Perdagangan negeri meneruskan perbahasan.

Tags: , ,

About author

Curabitur at est vel odio aliquam fermentum in vel tortor. Aliquam eget laoreet metus. Quisque auctor dolor fermentum nisi imperdiet vel placerat purus convallis.