Ketua Pemuda UMNO Bahagian Selayang, Datuk Sohaimi Shahadan
berkeyakinan bahawa keseluruhan rakyat Selangor akan kembali mengundi Barisan
Nasional (BN) ekoran kegagalan kerajaan negeri Selangor yang sedia ada dilihat
gagal untuk menepati janji-janji di dalam manifesto pilihanraya lepas, serta
kegagalan mereka mengurus tadbir negeri Selangor dengan baik.
Beliau merasa yakin bahawa rakyat Selangor kini sudah mula membuka
mata dan menyedari permainan politik pihak Pakatan Pembangkang yang sanggup
berbbohong semata-mata untuk mendapatkan kuasa.
“Memang jelas, rakyat sudah mula muak dengan sikap dan pendekatan
kerajaan negeri Selangor hari ini yang lebih suka berpolitik, menghentam sana
dan menghentam sini seolah-olah mereka lebih baik dari orang lain, sedangkan
masalah di dalam negeri sendiri mereka tidak dapat atasi.
“Lihat sajalah isu berkenaan sampah, rumah urut, air dan beberapa
isu lagi yang menghantui rakyat Selangor masih belum dapat diselesaikan yang
sudah berlarutan sepanjang pemerintahan kerajaan Pakatan Pembangkang di
Selangor,” katanya.
Bukan sekadar itu, isu pergolakan dalaman parti yang sedikit
sebanyak menjejaskan pentadbiran negeri, isu karenah ahli majlis PBT Pakatan
Pembangkang yang dilihat lebih kuah dari sudu, maka beliau yakin ia sudah cukup
untuk membuatkan rakyat di Selangor kini serik untuk memilih Pakatan
Pembangkang sebagai pentadbir kerajaan Selangor pada PRU yang akan datang.
“Isu pemecatan Dr. Hassan Ali juga telah memberikan kesan yang
besar. Begitu juga isu rumah urut yang tumbuh bagaikan cendewan lepas hujan di Selangor.
Sampaikan ke pekan-pekan kecil di luar
bandar pun sudah mula ada rumah urut. Sepatutnya kerajaan lebih mengambil berat
tentang hal ehwal rakyat dan bukannya hal ehwal nafsu nafsi politik mereka
saja,” tegas beliau.
Setakat ini menurut beliau, kerajaan Selangor hanya mampu untuk
melaksanakan lebih kurang 10 peratus daripada 100 peratus perkara yang telah
mereka janjikan kepada rakyat Selangor ketika PRU yang lepas.
“Daripada maklumat yang saya perolehi, memang ramai rakyat
Selangor yang mengundi mereka dulu kini menyesal. Mereka telah mula sedar,
Pakatan Pembangkang tidaklah sebagus mana seperti yang didakwa oleh mereka.
“Segala janji-janji yang mereka taburkan hanyalah satu sandiwara
politik demi kuasa semata-mata. Justeru
itu, saya yakin bahawa InsyaAllah, pada PRU 13 yang akan datang, rakyat akan
kembali memilih BN sebagai pentadbir di negeri Selangor,” ujarnya.


0 Komen
Post a Comment